HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 November 2020

G25 gesa tubuh JPK rasuah, integriti pastikan belanjawan tak disalah guna .

G25 berkata, ahli Parlimen pembangkang sekarang mesti memberi tekanan 
kepada kerajaan PN untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai 
rasuah dan integriti. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 hari ini menggesa penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) mengenai Rasuah dan Integriti untuk memastikan Belanjawan 2021 digunakan dengan betul.

Menyambut baik kelulusan belanjawan di peringkat dasar itu, G25 berkata, hakikat kerajaan bersedia menerima tuntutan pembangkang menunjukkan kematangan menteri Kabinet.

“Walaupun perbelanjaan besar itu wajar, kerajaan juga perlu menunjukkan kepada Parlimen yang semua kementerian dan jabatan akan menggunakan peruntukan mereka secara produktif untuk memanfaatkan kumpulan sasaran tanpa pembaziran dan ketirisan yang dilihat menjadi kebiasaan khasnya dalam beberapa tahun ini, seperti yang ditunjukkan dalam laporan ketua audit negara kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

“Kelemahan ini sering dikaitkan dengan kronisme, pilih kasih dan rasuah. Oleh itu, ia tidak boleh dibiarkan berulang lagi supaya kita dapat menebus semula reputasi lampau kita sebagai salah satu ekonomi yang diuruskan paling baik dalam kalangan negara pesat membangun.

“G25 menyeru ahli Parlimen menjadikan ia satu syarat yang sokongan dan persetujuan mereka, apabila belanjawan memasuki peringkat ke-3 dan terakhir pengundian pada pertengahan Disember, sejajar persetujuan kerajaan untuk membentuk Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Rasuah dan Integriti, seperti disarankan seorang ahli Parlimen pembangkang,” katanya dalam kenyataan hari ini

Kumpulan itu berkata, jawatankuasa pilihan itu perlu berperanan sebagai mata dan telinga rakyat untuk memastikan “ahli politik dan penjawat awam mereka” bertanggungjawab atas tindakan mereka serta menghapuskan “individu yang bersubahat dalam salah urus, penipuan dan amalan rasuah”.

Dengan menubuhkan jawatankuasa pilihan itu, Malaysia akan mengambil langkah bersejarah ke arah melaksanakan reformasi segera terhadap pentadbiran yang dijanjikan kerajaan terdahulu, tetapi belum dilaksanakan.

Katanya, ahli Parlimen pembangkang perlu memanfaatkan kedudukan politik yang rapuh sekarang untuk menekan kerajaan PN supaya bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa pilihan itu sebelum meluluskan belanjawan.

Mengenai kelulusan belanjawan di peringkat dasar, G25 berkata, ia menggalakkan untuk melihat di sebalik kontroversi hangat mengenai keabsahan kerajaan, ahli politik sanggup mengetepikan perbezaan mereka “ketika penderitaan besar dalam kalangan orang miskin dan mereka yang hilang pekerjaan serta pendapatan akibat kesan Covid-19 terhadap ekonomi”.

“Semua semangat kebersamaan dalam memerangi pandemik akan memberi impak positif kepada sentimen perniagaan dan memberi kita keyakinan untuk pemulihan tahun depan.

“G25 bersetuju dengan pandangan ahli politik kedua-dua pihak yang belanjawan perlu menyampaikan mesej perpaduan, justeru peruntukan kepada kementerian tidak sepatutnya mengenal pasti penerima berdasarkan kaum dan agama. Belanjawan juga tidak boleh digunakan untuk menyokong kepentingan politik rakan gabungan pemerintah.

“Kami menyeru Parlimen memastikan belanjawan itu adil untuk semua kaum, khasnya untuk mereka yang menjalankan perniagaan kecil dalam sektor tidak rasmi seperti menjual makanan dan barang murah di gerai tepi jalan serta pasar malam untuk mencari rezeki buat keluarga mereka. Mereka semua memerlukan bantuan, tanpa mengira bangsa dan agama.”

G25 berkata, walaupun jumlah peruntukan dalam Belanjawan 2021 yang terbesar dalam sejarah, kenaikan itu tidak dapat dielakkan memandangkan keperluan untuk memberikan bantuan segera kepada golongan memerlukan dan mengekalkan pembangunan berterusan dan pemodenan negara, khasnya dalam bidang pendidikan, kesihatan, prasarana, pertanian, PKS dan teknologi.

Namun, katanya, kerajaan perlu menilai semula peruntukan besar yang akan diberikan kepada badan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) “kerana ia tidak boleh diwajarkan apabila peruntukan belanjawan untuk hospital dan institusi kesihatan dikurangkan”.

“Kementerian dan institusi penyelidikan kita, khasnya universiti, juga perlu diberi lebih banyak dana untuk mendapatkan kemudahan canggih dalam meningkatkan keupayaan respons mereka dengan peralatan penyelidikan dan analisis tepat sehingga mereka mampu menangani kecemasan seperti yang kita hadapi sekarang, dengan maklumat lebih baik serta tepat.

“Tambahan, belanjawan perlu memberikan sokongan untuk memudahkan perubahan struktur daripada ekonomi intensif buruh kepada ekonomi berasaskan pengetahuan, di mana nilai tambah, produktiviti buruh dan tahap upah jauh lebih tinggi daripada sekarang.”

Tiada ulasan: