HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 November 2020

BERSATU mansuh jawatan Pengerusi, Majlis Presiden ditubuhkan sebelum ini

KUALA LUMPUR: Jawatan Pengerusi dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dimansuhkan menerusi keputusan sebulat suara pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu, semalam.

Selain itu, keputusan turut dicapai untuk memansuhkan Majlis Presiden yang ditubuhkan sebelum ini bawah Perlembagaan BERSATU.

Ketua Penerangan BERSATU, Wan Saiful Wan Jan, berkata, ia adalah hasil usul dibincangkan pada PAT berkenaan untuk pindaan Perlembagaan parti.

"Sebelum PAT berlangsung, Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan sudah mengadakan sesi libat urus dan taklimat di seluruh negara dengan pemimpin negeri serta bahagian.

"Kita mengambil kira semua pandangan untuk memperbaiki cadangan asal.

"Alhamdulillah, keputusan sebulat suara berjaya dicapai untuk menerima semua pindaan dicadangkan, termasuk memansuhkan jawatan Pengerusi parti," katanya kepada BH, malam tadi.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, antara perkara signifikan lain yang turut dibangkitkan ialah penubuhan Sayap Bersekutu bagi membolehkan penstrukturan ahli bersekutu parti berkenaan.

"Sejak awal penubuhan lagi, kita sudah ada keahlian bersekutu. Kini, kita berasa sudah tiba masanya untuk diwujudkan struktur rasmi bagi mempermudahkan kerja. Ahli bersekutu ini adalah mereka yang bukan pribumi.

"Kita melihat ada permintaan tinggi untuk menjadi ahli parti. Justeru, kita juga meminda Perlembagaan agar prosesnya menjadi lebih mudah.

"Kita memansuhkan keahlian tahunan. Sekarang, semua menjadi ahli seumur hidup dengan membayar satu yuran sekali gus saja," katanya.

Tiada ulasan: