HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 November 2020

Lulus Belanjawan 2021 bukan makna DAP sokong!

Ahirah Huda Zalhe

 

Pembangkang akan tolak peruntukan tak dipersetuju di peringkat jawatankuasa

BANGI – Ketua Parlimen DAP, Anthony Loke mengaku bertanggungjawab memberikan arahan kepada Ahli-Ahli Parlimen daripada parti itu supaya tidak bangun meminta undi belah bahagi untuk menolak Belanjawan 2021, semalam.

Loke berkata, tindakan itu dibuat selepas mendapat mesej daripada pihak ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Meskipun tidak bangun meminta undi belah bahagi, Loke berkata, ia bukan bermakna DAP dan parti pembangkang lain menyokong sepenuhnya belanjawan itu.

“Mengapa kita tidak undi belah bahagi hari ini? Sebabnya ialah kita tidak menolak keseluruhan belanjawan tersebut.

“Ada perkara yang kita boleh bersetuju dan sokong seperti pembayaran gaji untuk kakitangan awam, elaun khas untuk frontliners, bantuan tunai kepada rakyat, subsidi gaji untuk majikan, peruntukan untuk pengangkutan seperti MY30 dan lain-lain peruntukan yang memberi manfaat terus kepada rakyat.

“Bayangkan, kalau semua Ahli Parlimen pembangkang bangun mohon undi belah bahagi, apakah serangan pula daripada pihak Perikatan Nasional? Mereka akan tuduh Pakatan Harapan ingkar nasihat Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Seremban itu berkata, banyak juga peruntukan yang ditolak seperti RM85 juta untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), pemotongan untuk pelbagai jenis aliran sekolah dan isu lain yang dibangkitkan pembangkang.

“Yang pertamanya, adakah Belanjawan 2021 telah diluluskan di Parlimen hari ini (semalam). Jawapannya, tidak! Hari ini (semalam), Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 hanya lulus peringkat bacaan kedua atau di peringkat dasar.

“Selepas hari ini, perbahasan akan masuk peringkat jawatankuasa mulai hari Isnin depan. Maksudnya perbelanjaan untuk setiap kementerian perlu dibahaskan secara terperinci dan diluluskan.

“Mulai Isnin depan, setiap hari ada peluang untuk undi belah bahagi dipanggil oleh sekurang-kurangnya 15 Ahli Parlimen,” katanya.

Maka, Loke berkata, pembangkang akan membantah dan menolak peruntukan yang tidak dipersetuju di peringkat jawatankuasa kementerian masing-masing.

“Contohnya, kita akan minta undi belah bahagi untuk tolak belanjawan Kementerian Komunikasi dan Multimedia kerana JASA merupakan agensi di bawah kementerian tersebut,” katanya.

Tiada ulasan: