Bernama
Saifuddin berkata semua pihak harus berlapang dada dan bersama-sama
memikirkan kepentingan serta kebajikan rakyat.
KUANTAN:
Tidak timbul isu parti mana yang lebih dominan sekiranya gabungan Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PAS dan UMNO dibentuk bagi
menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, kata Setiausaha
BERSATU Pahang Datuk Saifuddin Abdullah.
Menteri
Komunikasi dan Multimedia itu berkata, dalam situasi kini, semua pihak
harus berlapang dada dan bersama-sama memikirkan kepentingan serta
kebajikan rakyat.
"Politik
hari ini harus dilihat dari sudut semasa, jangan terikut-ikut kerangka
politik lama dahulu yang akan membuatkan kita sukar untuk bergerak
kerana apa yang penting kini rakyat didahulukan.
"Kita
perlu bersifat terbuka dan isu siapa tumpang (menumpang) dan dominan
tidak seharusnya timbul dalam membentuk gabungan parti Melayu
ini...gabungan ini harus diberi peluang untuk berkhidmat," katanya pada
sidang media selepas Program Indera Mahkota Prihatin, di sini, hari ini.
Semalam
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata adalah
baik jika semua pemimpin Melayu dan Islam di negara ini dapat bersatu
dalam sebuah jemaah yang besar, berbanding berpecah-belah dalam
kabilah-kabilah kecil sekali gus dapat mewujudkan kestabilan politik di
Malaysia.
Saifuddin menjelaskan pindaan
perlembagaan BERSATU yang membolehkan orang bukan Melayu dan Islam
menjadi ahli bersekutu parti itu menunjukkan keterbukaan parti
berkenaan.
"Kita mengalu-alukan mereka
menyertai BERSATU kerana kita masih menghormati dan mengiktiraf agama
lain selari dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam
sebagai agama Persekutuan manakala penganut agama lain bebas mengamalkan
anutan masing-masing," katanya.
Sementara
itu, mengulas mengenai program berkenaan, Ahli Parlimen Indera Mahkota
itu berkata beliau menyampaikan bantuan makanan dan wang tunai kepada 50
penerima dari kawasan Parlimen itu.
Selain
itu, beliau berkata sebuah rumah penjagaan orang tua juga akan dibaik
pulih dan dinaik taraf pada tahun depan membabitkan peruntukan sebanyak
RM200,000.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan