Astro Awani
Dakwa Ulya, Azmin harus berhenti memberi naratif mengikut rancangannya. - Facebook / Ulya Husamudin
KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali patut berhenti menipu dan memesongkan
kebenaran, dakwa Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang),
Ulya Aqamah Husamudin.
Ulya mendakwa,
Perikatan Nasional (PN) adalah rancangan yang dibuat Azmin bersama
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bukan idea Tun Dr Mahathir
Mohamad.
"Beberapa
hari sebelum mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), anda
(Azmin) memberi maklumat bahawa ada muslihat untuk menggulingkan Dr
Mahathir semasa mesyuarat tersebut.
"Anda mengatakan bahawa sekiranya ada yang berlaku, anda akan keluar daripada mesyuarat untuk menunjukkan rasa tidak puas hati.
"Namun
semasa mesyuarat Pakatan Harapan, apa yang anda katakan tidak berlaku.
PH bersetuju untuk memberikan sokongan penuh kepada Dr Mahathir dan
mengadakan perbincangan rancangan peralihan yang betul... anda tidak
keluar semasa pertemuan itu," dakwanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dalam
satu wawancara, Azmin dilaporkan berkata rancangan untuk membentuk PN
berasal daripada Dr Mahathir sendiri kerana beliau ingin menjadi Perdana
Menteri yang disokong oleh Ahli Parlimen semua parti.
Dalam
pada itu dakwa Ulya, Dr Mahathir telah membuktikan bahawa tuduhan Azmin
adalah salah dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu dan tidak masuk
akal untuk meninggalkan PH ketika PH memberikan sokongan penuh pada
waktu itu.
"Muhyiddin masih berusaha mendorong agendanya dan meyakinkan bahawa Dr Mahathir akan tetap menjadi Perdana Menteri bagi PN.
"Dr
Mahathir juga menyatakan dengan jelas tidak mahu memungkiri janjinya
dan tidak boleh menerima menjadi Perdana Menteri yang disokong oleh
kleptokrat.
"Malangnya Muhyiddin disokong
oleh ramai orang yang ingin meninggalkan PH termasuk memeras ugut
(kumpulan) dari "Muhajirin" (bekas UMNO yang bergabung dengan Bersatu),"
dakwanya.
Beliau mendakwa, mesyuarat itu berakhir dengan ahli bersetuju untuk menyerahkan keputusan kepada Dr Mahathir.
Dakwanya,
Dr Mahathir kemudian menyuruh Muhyiddin membatalkan sebarang rancangan
pertemuan dengan istana, kumpulan Mohamed Azmin, UMNO dan Pas yang telah
dirancang oleh Muhyiddin tanpa persetujuan.
"Namun,
daripada membatalkan semua rancangan ini, Muhyiddin dan Azmin tetap
meneruskan muslihat yang menyebabkan perhimpunan di Sheraton. Setelah
mendapat tahu, Dr Mahathir menghantar Syed Saddiq untuk menyatakan
penentangannya.
"Setelah hilang perintah
terhadap partinya sendiri kerana pengkhianatan Muhyiddin sebagai
presiden, Dr Mahathir melihat bahawa dengan atau tanpa persetujuannya,
Muhyiddin dan Azmin akan terus menggulingkan PH.
"Dr
Mahathir tidak mahu memungkiri janjinya untuk peralihan dan tidak mahu
menjadi sebahagian daripada Langkah Sheraton, kemudian mengundurkan diri
sebagai Perdana Menteri," dakwanya.
Dakwa Ulya, Mohamed Azmin harus berhenti memberi naratif mengikut rancangannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan