HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 November 2020

Titik keseimbangan 'sementara' politik dan ekonomi benar wujud

Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari
Titik keseimbangan 'sementara' politik dan ekonomi benar wujud
Ahli Parlimen telah menzahirkan kepentingan ekonomi rakyat dan negara mengatasi kepentingan politik. - Foto BERNAMA
 
HARI ini merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia untuk mengetahui sama ada Belanjawan 2021 diluluskan ataupun tidak. Ramai meramalkan sejarah bakal tercipta di antara dua situasi berikut: sama ada belanjawan diluluskan oleh semua ahli Parlimen di atas dasar “perpaduan ekonomi” atau belanjawan tersebut tidak diluluskan.
 
Pada 04 November 2020 yang lalu, penulis telah mengarapkan pentingnya kewujudan “perpaduan ekonomi” di kalangan semua ahli Parlimen bagi memastikan garis titik keseimbangan kebajikan diperolehi. Rujuk artikel penulis pada pautan berikut:
 
BACA: Belanjawan 2021, COVID-19 pengaruhi keseimbangan kebajikan
 
Alhamdulillah Belanjawan 2021 telah diluluskan di Parlimen dengan penuh dramatik. Benar seperti mana jangkaan penulis bahawa wujud keseimbangan “sementara” di antara kestabilan politik dan risiko ekonomi (Rujuk Panel B pada Rajah 1).
 
Grafik Astro AWANI
Grafik Astro AWANI
 
Jelas, COVID-19 didapati menjadi salah satu penentu utama kepada titik keseimbangan kebajikan yang melibatkan kestabilan politik. Umum mengetahui bahawa kestabilan politik sesebuah negara mempengaruhi kestabilan ekonomi. Ekonomi akan berhadapan dengan risiko apabila keadaan politik dan tadbir urus negara berada dalam keadaan tidak menentu. Pertalian di antara ketidakstabilan politik dan risiko ekonomi digambarkan di Panel B pada Rajah 1. Semakin tidak stabil politik sesebuah negara, semakin tinggi risiko ekonomi yang bakal dihadapi.
 
Pada ketika jangkitan COVID-19 meningkat, wujud keseimbangan “sementara” di antara ketidakstabilan politik dan risiko ekonomi. Kesimbangan ini bersifat sementara kerana percaturan politik akan kembali ke arena apabila risiko kesihatan dapat dikawal sepenuhnya dan ekonomi telah pulih.
 
Keseimbangan sementara ini telahpun disahkan secara pratikalnya melalui penggulungan Belanjawan 2021 di Parlimen tadi. Walaupun tidak kesemua ahli Parlimen menyokong tetapi majoritinya meluluskan.
 
Cadangan undi belah bahagi tidak boleh dilakukan kerana tidak mendapat sokongan minimum 15 orang ahli Parlimen pembangkang. Ini menandakan sebahagian ahli-ahli Parlimen pembangkang menyokong Belanjawan 2021 secara tak langsung.
 
Syabas kepada ahli-ahli Parlimen yang menyokong Belanjawan 2021. Mereka telah menzahirkan kepentingan ekonomi rakyat dan negara mengatasi kepentingan politik. Diharap kematangan politik di Malaysia dapat diteruskan pada masa akan datang.

*Artikel ini ditulis oleh Prof. Madya Dr. Mohd Yusof Saari daripada Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan, PERKESO

Tiada ulasan: