PETALING JAYA: Bukan sedikit warganet yang tertanya kenapa majoriti Ahli Parlimen pembangkang tidak menyokong cadangan mengadakan undian secara belah bahagi bagi menentukan sokongan pada Belanjawan 2021, yang petang tadi lulus di peringkat dasar dengan sokongan majoriti melalui undian suara.
Perhatian tertumpu kepada wakil-wakil rakyat PKR dan DAP yang tidak berdiri untuk menyokong cadangan rakan mereka, Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena), dari Amanah selepas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz selesai menggulung perbahasan.
Seorang Ahli Parlimen memaklumkan di Facebook hanya 11 wakil rakyat Amanah, Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi), dan anaknya, Mukhriz (Bebas-Jerlun), menyokong cadangan supaya undian secara belah bahagi diadakan.
“Biar mati berdiri, dari hidup melutut,” tulis Mukhriz di Twitter selepas Belanjawan 2021 diluluskan.
FMT sedang mengesahkan angka sebenar wakil rakyat yang menyokong undian secara belah bahagi dengan pihak Dewan Rakyat.
Cubaan FMT mendapatkan penjelasan daripada PKR dan DAP gagal kerana panggilan belum dijawab.
“Tak boleh harap,” tertera pada poster pelukis terkenal, Fahmi Reza yang dimuat naik di Twitter.
Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) di Twitter meminta semua bertenang, mengatakan Belanjawan 2021 belum lulus sepenuhnya.
Bekas pengerusi Bersih 2.0, Ambiga Sreenevasan bagaimanapun menjawab warganet tahu ia belum lulus sepenuhnya.
“Tetapi kenapa kamu tak boleh adakan undi secara belah bahagi? Sila jawab.”
Kelvin Yii (PH-Kuching) turut akur beliau tidak berdiri untuk menyokong undian belah bahagi.
“Saya sudah nyatakan bantahan saya menerusi undi suara. Bagaimanapun saya tidak berdiri semasa undian belah bahagi. Saya harus meminta maaf kerana saya bukan salah seorang yang berdiri.”
Perkembangan hari ini bermakna perbahasan Belanjawan 2021 diteruskan ke peringkat jawatankuasa. Pusingan undian seterusnya akan menyaksikan adakah Belanjawan 2021 diluluskan dengan sebarang pindaan atau tidak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan