HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 November 2020

Undi Belanjawan 2021: Yang berdiri tak salah, yang duduk juga adalah benar - Dr Dzul

Firdaus Azil
Undi Belanjawan 2021: Yang berdiri tak salah, yang duduk juga adalah benar - Dr Dzul
Dr Dzulkefly berkata, Amanah akan melakukan sesi penerangan supaya penyokong, akar umbi mendapat pemahaman yang lebih jelas. - Gambar fail
 
KUALA LUMPUR: Pimpinan kanan Parti Amanah Negara (Amanah) sedar perbezaan langkah yang diambil Ahli-Ahli Parlimen mereka pada penggulungan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat Khamis lepas, menimbulkan tanda tanya di kalangan penyokong pembangkang.
 
Pengarah Strategik Amanah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, parti akan mengadakan mesyuarat malam ini secara tertutup bagi memperhalusi tindakan tersebut, yang rata-rata menimbulkan persepsi tiada muafakat dalam kalangan pimpinan parti dan Pakatan Harapan.
 
“Kami bertanggungjawab pada ahli dan aktivis akar umbi dan pimpinan akar umbi, mengapa berlaku perbezaan dua langkah atau dua posisi dan dua kedudukan itu iaitu ada yang berdiri, dan yang duduk.
 
“Sekali gus saya terangkan, yang berdiri itu tidak salah, yang duduk adalah benar. Kerana kita mendapat isyarat daripada Ketua Pembangkang pada saat-saat akhir. Tak semuanya dapat maklumat. Dan itulah saya kira, apa yang berlaku telah berlaku, dan ada hikmah di sebalik itu,” kata bekas Menteri Kesihatan itu lagi.
 
Pada Khamis lepas, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar bangkit memohon diadakan undi belah bahagi bagi membantah kelulusan Belanjawan 2021, selepas undi suara lebih berpihak kepada rang undang-undang itu.
 
Bagaimanapun, ia gagal direalisasikan apabila hanya 13 Ahli Parlimen yang kebanyakan daripada Amanah dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bangkit, dan tidak memenuhi korum 15 Ahli Parlimen yang ditetapkan Peraturan Mesyuarat.
 
Walaupun sebahagian besar Ahli Parlimen Amanah bangkit, namun parti itu tidak terlepas daripada kritikan penyokong pembangkang apabila Presidennya Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden Datuk Seri Salahuddin Ayub tidak berdiri bersama-sama bagi mencukupkan jumlah yang diperlukan.
 
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, Amanah akan mengambil pendekatan melakukan sesi penerangan agar penyokong dan ahli akar umbi mendapat pemahaman yang lebih jelas.
 
“Kerana kita harus faham rakyat kita ni bukan satu homogenous, bukan satu pemikiran. Banyak segmen pemikirannya. Seperti ada segmen pro-pembangkang, rakyat Malaysia pertengahan dan sebagainya. 
 
Saya tak mahu perincikan, tetapi pokoknya dengan kita berdiri itu ada juga suara yang mahukan semak dan imbang itu berlaku.
 
“Jadi (mesyuarat) malam ini, saya kira kita akan mempertanggungjawabkan pimpinan khususnya, mengapa ada yang berdiri dan ada yang duduk, mengapa langkah-langkah itu telah kita ambil. Saya yakin kerana niat kita adalah ikhlas dan murni, maka perkara ini bukan sukar untuk kami atasi. Kami akan terangkan apa yang sebenar-benarnya berlaku,” katanya lagi.

Tiada ulasan: