HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 November 2020

UMNO tetap tuntut jawatan TPM

Oleh Media Mulia
ISMAIL SABRI YAAKOB

KUALA LUMPUR: Isu jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) untuk diisi pemimpin UMNO akan dibangkitkan semula sebaik Belanjawan 2021 yang sedang dibahaskan di Parlimen selesai.

Mengesahkan kepada Mingguan Malaysia, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu tidak pernah didiamkan kerana UMNO pemilik kerusi terbesar dalam kerajaan ketika ini.

Selain itu, kata beliau, tidak ada pemimpin UMNO diberikan jawatan tertinggi dalam Kabinet melainkan satu daripada empat jawatan menteri kanan yang disandang beliau.

Oleh demikian, tegas beliau, perbincangan antara Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan disegerakan selepas Belanjawan 2021 diselesaikan.

“Barisan Nasional (BN) ada 42 kerusi (Parlimen), paling besar, tetapi kita tidak ada jawatan tertinggi. Menteri Kanan saya seorang, yang lain (tiga) semua daripada Bersatu.

“Jadi adillah kalau UMNO minta jawatan TPM dan wajar diberikan kepada UMNO sebagaimana cadangan Biro Politik dan dipersetujui Majlis Tertinggi,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kementerian Pertahanan di sini Khamis lalu.

Ditanya siapakah pemimpin UMNO layak mengisi jawatan itu, Ismail Sabri berkata, persetujuan parti adalah mengikut hierarki dengan mengutamakan lima pemimpin teratas bermula Presiden, Timbalan Presiden selain tiga Naib Presiden.

Beliau berkata, lima pemimpin itu boleh dipertimbangkan jika mengambil kira kedudukan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan yang bukan ahli parlimen.

“Kita menyerahkan kepada orang ramai untuk menilai (siapa yang sepatutnya layak). Bagi UMNO, kita perlukan jawatan TPM tetapi orang yang berada di luar hierarki itu tidak wajar mengisi jawatan tersebut.

“Tidak boleh sesuka hati nak lantik sesiapa, kena hormat pendirian UMNO. Jadi saya harap selepas Belanjawan, perkara ini dibincangkan semula,” katanya.

Sebelum ini, ada ura-ura nama Ahli Parlimen Sembrong yang juga Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah turut disebut-sebut sebagai calon TPM.

Dua lagi Naib Presiden UMNO selain Ismail Sabri ialah Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahadzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang kalah bertanding dua kerusi parlimen dan DUN pada PRU-14.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, UMNO juga membuat keputusan tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai salah satu komponen parti berkenaan.

Atas dasar itu katanya, UMNO akan menggunakan lambang BN yang ditunjanginya dengan dianggotai MCA dan MIC pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Namun beliau menjelaskan, persetujuan telah dicapai agar tiada pertembungan antara BN dan PN memandangkan Pas juga menyertai PN bersama Bersatu.

“Kita tak nak ada tiga penjuru. Kalau kita bertanding, PN tidak bertanding. Persetujuan sudah dicapai setakat ini. BN tidak sertai PN. BN bertanding atas lambang sendiri dan PN atas lambang mereka sendiri,” katanya.

Berhubung pembahagian kerusi katanya, Jawatankuasa Pembahagian Kerusi sudah berunding dengan Pas ketika beliau mempengerusikan jawatankuasa itu.

Bagaimanapun, katanya, apabila Pas membuat keputusan untuk menyertai PN, isu berkenaan tidak diketahui sama ada rundingan diteruskan dengan PN, Pas atau Bersatu kerana jawatankuasa tersebut kini dipengerusikan oleh Mohamad.

Kepada soalan mengenai kedudukan Muafakat Nasional (MN), kata beliau, kerjasama antara UMNO dan Pas masih kukuh, iaitu satu kesepakatan penyatuan ummah dari segi pemikiran dan tindakan dan bukannya membentuk sebuah gabungan parti.

Walaupun ada cadangan MN didaftarkan sebagai sebuah gabungan parti, katanya, perkara itu agak sukar memandangkan Pas sudah bersama PN.

“Maka adalah mustahil bagi sebuah parti untuk berada dalam dua gabungan parti,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: