PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengingatkan Ahli Parlimen pemerintah supaya jangan meraikan ‘kemenangan’ terlalu awal, kerana Belanjawan 2021 masih boleh ditolak di peringkat jawatankuasa, walaupun lulus di peringkat dasar.

Anwar berkata keputusan majoriti pembangkang untuk tidak menyokong cadangan mengadakan undian secara belah bahagi hari ini kerana tidak mahu mengganggu Belanjawan 2021 di peringkat awal, memandangkan masih terdapat proses yang perlu dilalui.
 
Anwar mengingatkan Belanjawan 2021 masih boleh ditolak pada bacaan dan perbahasan seterusnya sekiranya ia masih tidak memenuhi aspirasi rakyat.

“Masih terlalu awal untuk mereka merayakan berlebihan, walhal yang kita fikirkan ini bukan soal kemenangan politik tetapi kemenangan rakyat dan kebajikan rakyat,” katanya.

“Kita ambil keputusan untuk tidak (undi) berbelah bahagi, (kerana) tidak mahu ganggu di peringkat awal.

“Hal ini kerana ada gambaran tidak tepat dalam kalangan rakyat, kalau kita tolak sepenuhnya, ia akan menyebabkan terjejasnya gaji penjawat awam, elaun buat petugas barisan hadapan dan kemudahan lain serta bantuan rakyat,” katanya di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perbekalan 2021 di peringkat dasar melalui undian suara selepas sebahagian besar Ahli Parlimen, termasuk pembangkang tidak menyokong cadangan undian secara belah bahagi.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat mengumumkan perkembangan itu selepas mendapati majoriti suara Ahli Parlimen menyokong Belanjawan 2021.

Sebaliknya, Anwar menegaskan pada minggu hadapan, semasa perbahasan di peringkat jawatankuasa dan bacaan RUU Perbekalan peringkat ketiga, blok pembangkang akan menolak Belanjawan 2021 sekiranya ia tidak memenuhi aspirasi rakyat.

“Minggu depan kita akan bertarung dengan lebih sengit kerana kita akan dengar perincian. Ini hanya pusingan pertama, perbahasan lebih teliti akan dilakukan di peringkat jawatankuasa bermula Isnin depan. Kita akan ambil keputusan untuk undi belah bahagi.

“Ia sekiranya beberapa kementerian bercanggah dengan pendirian kita dalam soal pengurusan kerajaan, penyelewengan, peruntukan untuk Jasa.

“Ini kita akan teruskan pada Isnin. Kita menolak belanjawan ini dari segi prinsipnya,” katanya.

Tambahnya, beberapa isu membabitkan elaun untuk petugas barisan hadapan, bantuan bagi rakyat miskin seperti kelompok petani dan nelayan tidak dihiraukan kerajaan dan perkara inilah yang akan dibawa semasa perbahasan di peringkat jawatankuasa.

Perbahasan Belanjawan 2021 akan diteruskan ke peringkat jawatankuasa. Pusingan undian seterusnya akan menyaksikan sama ada belanjawan tersebut diluluskan dengan sebarang pindaan atau sebaliknya.

Difahamkan pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memenuhi dua tuntutan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, iaitu melanjutkan moratorium ke atas pembayaran pinjaman bank dan membolehkan pencarum mengeluarkan sehingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP. – FMT