KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan platform politik hari ini untuk mendedahkan hubungan partinya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan UMNO.
Kata Presiden Bersatu itu, beliau akan berterus terang mengenai hubungan itu bagi memadamkan persepsi orang ramai terutama ahli dan penyokong mengenai hubungan kedua parti yang dikatakan agak hambar, tidak mesra dan tidak akrab serta belum ada keserasian.
Jelasnya, sebelum ini beliau dinasihatkan supaya jangan banyak bercakap soal politik pada masa ini kerana rakyat sedang susah akibat daripada serangan wabak Covid-19.
“Masalah pandemik Covid-19, masalah ekonomi, jadi takkanlah Perdana Menteri nak bercakap soal politik. Kerana itu saya banyak berdiam diri dan kurang menyentuh mengenai hal politik.
“Tetapi, hari ini adalah hari Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu. Semua perwakilan berhak tahu apa situasi politik yang sedang kita hadapi pada masa ini dan apa hala tuju parti kita di masa hadapan.
“Maklumlah, sebahagian dalam Bersatu termasuk saya sendiri dahulunya dari UMNO juga. Kemudian ada rakan yang lain dari UMNO menyertai Bersatu,” katanya pada Perhimpunan Agung Parti Bersatu yang diadakan secara maya, hari ini.
Menurut Muhyiddin, beliau tidak mahu mengungkit kisah silam kerana itu telah menjadi sejarah, tetapi, hakikatnya telah terpahat dalam lipatan sejarah, Bersatu dan UMNO menjadi seteru politik.
“UMNO di sebelah sana, Bersatu di sebelah sini. Dalam pilihan raya kita bertembung antara satu sama lain. Jadi, mungkin luka masih berdarah. Parut masih berbekas.
“Tetapi takdir Allah mempertautkan Bersatu dan UMNO. Krisis politik yang berlaku pada awal tahun ini tidak semena-mena meletakkan kedua parti ini dalam satu saf politik yang sama.
“Daripada seteru politik dalam Pakatan Harapan (PH), kita menjadi rakan sekutu dalam kerajaan Pakatan Nasional (PN),” katanya.
Katanya, beliau tahu mungkin ada pihak yang tidak selesa dengan keadaan itu, seolahnya, mereka dipaksa atau terpaksa untuk bekerjasama sehingga timbul bermacam perkara yang tidak elok didengar dalam hubungan antara kedua parti berkenaan.
“Saya sedar hal ini menyebabkan kita berada dalam satu situasi yang agak sukar dan mencabar, tetapi dalam keadaan yang mencabar ini, saya ingin mengajak semua perwakilan untuk berfikir sejenak.
“Cuba kita renungkan. Fikir dalam-dalam. Adakah takdir Allah yang mempertautkan Bersatu dan UMNO, termasuk juga Pas dalam satu saf politik ini berlaku begitu sahaja tanpa ada apa-apa hikmah di sebaliknya?
“Tidakkah kita terfikir bahawa Allah sebenarnya sedang menguji kita? Sama ada kita sedar atau tidak, kita sebenarnya sedang diuji oleh Allah. Baik dalam keadaan kita mempunyai kuasa pemerintahan atau sebaliknya, Allah menguji kita,” ujarnya.
Menurutnya, kemelut politik yang sedang dihadapi ini adalah satu bentuk ujian yang didatangi oleh Allah kepada mereka dan sebagai orang Islam, beliau percaya ada kebaikan di sebalik ujian getir ini.
Kata beliau, di hadapan kini terbentang luas peluang untuk mempersatukan umat Melayu dan Islam di Malaysia yang telah mengalami perpecahan politik sejak sekian lama.
“Namun, sedarlah, krisis politik yang berlaku di negara kita pada awal tahun ini telah mempertautkan pimpinan politik Melayu dalam Bersatu, UMNO dan Pas dalam satu saf politik yang sama.
“Pada saya, pertautan ini adalah satu langkah awal untuk mewujudkan penyatuan ummah yang lebih besar. Justeru, saya ingin mengingatkan diri saya dan mengajak semua perwakilan supaya melihat maslahah yang lebih besar, kepentingan yang lebih utama.
“Alangkah baiknya jika semua pemimpin Melayu dan Islam di negara ini dapat bersatu dalam sebuah jemaah yang besar, berbanding berpecah-belah dalam kabilah kecil yang melemahkan kita,” katanya.
Tegas Muhyiddin, jika seseorang itu hanya memikirkan kepentingan kabilah, kelompok dan partinya sahaja, selama-lamanyalah mereka akan berpecah-belah dan seruan perpaduan Melayu, penyatuan ummah selama ini akan menjadi retorik semata-mata.
Oleh itu, apa salahnya jika semua berebut peluang yang didatangi oleh Allah menerusi ujian-Nya ini untuk memperkukuhkan penyatuan sesama ummah.
“Inilah masanya untuk semua pemimpin Melayu mengetepikan perbezaan politik dan bangkit mempertautkan hubungan silaturrahim dalam semangat ukhuwwah dan mahabbah demi maslahah yang lebih besar, iaitu penyatuan umat Melayu di negara ini.
“Saya percaya penyatuan umat Melayu akan mewujudkan kestabilan politik di negara ini yang pastinya akan memberikan manfaat kepada seluruh rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan