HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 November 2020

Pembangkang (baca PH) kalah 2 - 0 hari ini


Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan melalui undian belah bahagi.

Timbalan Speaker, Rashid Hasnon, berkata berdasarkan peraturan mesyuarat, keputusan menunjukkan 107 anggota parlimen menyokong usul peringkat jawatankuasa itu berbanding 95 yang menentang manakala 18 lagi tidak berada di dalam Dewan Rakyat.

Undian belah bahagi dijalankan selepas lebih 15 ahli parlimen, sebelum itu bangun menyokong RUU itu diputuskan menerusi kaedah berkenaan.

Untuk rekod, kerajaan PN bersama BN dan GPS tidak mempunyai keseluruhan 111 undi hari ini, justeru secara teknikal mereka mungkin dikalahkan.

Namun, yang jelas pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim - yang mengumum pada 23 Sept lalu bahawa dia mempunyai majoriti "kukuh dan meyakinkan" - tidak dapat mengumpulkan sokongan maksimum pembangkang.

Malaysiakini masih sedang mengenal pasti ahli parlimen yang tidak hadir.

Difahamkan, Willie Monging (PN-Puncak Borneo) dan Michael Teo (PH-Miri) tidak hadir kerana memilih untuk kembali ke Sarawak baru-baru ini. Namun, Teo hadir ke sesi undian kedua pada pukul 4.30 petang.

Selepas Belanjawan 2021 diluluskan pada peringkat dasar pada 26 Nov lalu, pembangkang menjanjikan cabaran sengit apabila ia dibahas dan diuji di peringkat jawatankuasa.

Menteri Muhyiddin Yassin dipercayai tidak lagi mendapat sokongan lebih daripada 112 anggota parlimen. Dalam keadaan itu pembangkang hanya memerlukan dua ahli parlimen berubah sokongan untuk menjatuhkan kerajaan PN.  

Sebelum itu, sesi penggulungan dilakukan oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu, kementerian kewangan diperuntukkan RM35.1 bilion iaitu RM20.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM14.1 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Esok, tiga lagi kementerian dijadual menggulung iaitu kementerian luar, kementerian perpaduan negara serta kementerian perusahaan perladangan dan komoditi.

Campur semalam

Tiada ulasan: