HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 November 2020

Anwar tak pernah kongsi maklumat dengan pembangkang ketika jadi Menteri Kewangan.

MGF29112020_SUMBANGAN-DANA-PENGANTIAN-PAM-AIR10
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali bercakap kepada media selepas Program Sumbangan Penggantian Pam Air di Pangsapuri Sri Harmonis, Gombak Setia, Selangor. foto AFFAN FAUZI,

GOMBAK – Langkah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang memanggil pembangkang di Dewan Rakyat untuk sama-sama menyumbang pandangan harus dipuji.

Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia jelas bertentangan dengan apa yang dilakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau menjadi Menteri Kewangan semasa pemerintahan Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya ingin tanya (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, dia tidak pernah berkongsi maklumat, data dan statistik dengan pembangkang. Lim Guan Eng pernah jadi Menteri Kewangan tapi beliau tidak mengambil sikap yang terbuka seperti ini tapi kita melihat bagaimana Perikatan Nasional di bawah Menteri Kewangan mengambil sikap yang terbuka memanggil semua Ahli Pembangkang untuk mendengar pandangan mereka.

“Saya yakin ada pandangan yang telah dimasukkan dalam perbentangan tersebut termasuk dalam penggulungan di mana beberapa penambahbaikan telah dibuat untuk memenuhi permintaan rakyat,” katanya pada program Sumbangan Dana Penggantian Pam Air di Pangsapuri Seri Harmonis, hari ini.

Azmin berkata, gesaan pembangkang sebelum ini yang keras untuk menolak Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 yang dilihat sebagai cubaan untuk menghalang usaha kerajaan dalam membantu rakyat yang terkesan ekoran pandemik Covid-19.

“Untuk mengambil sikap yang terlalu keras menolak Belanjawan seolah-olah mereka tidak mahu kerajaan membantu peniaga-peniaga kecil, mereka tidak mahu kerajaan menyediakan peruntukan untuk rakyat dalam keadaan yang sukar ini.

“Apakah itu tujuan mereka. Jadi saya berharap PH termasuk Ketua Pembangkang hentikan politik yang melampau ini kerana rakyat sedang menilai apakah mereka jujur untuk mendokong titah YDPA dan juga bersama kerajaan untuk meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi,” katanya lagi.

Anwar sebelum ini berkata, keputusan majoriti pembangkang untuk tidak menyokong cadangan mengadakan undian secara belah bahagi kerana tidak mahu mengganggu Belanjawan 2021 di peringkat awal memandangkan masih terdapat proses yang perlu dilalui.

Malah, katanya Belanjawan 2021 masih boleh ditolak pada bacaan dan perbahasan seterusnya sekiranya ia tidak memenuhi aspirasi rakyat.

Belanjawan 2021 diluluskan melalui suara majoriti Ahli Parlimen pada Khamis lalu.

Belanjawan berkenaan juga merupakan yang pertama dibentang di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia dibentangkan Tengku Zafrul pada 6 November lalu dan seramai 82 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan yang berlangsung sejak 9 November lalu.

Belanjawan 2021 memperuntukkan RM322.5 bilion iaitu RM236.5 bilion disediakan untuk perbelanjaan mengurus, RM69 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, RM17 bilion kepada Kumpulan Wang Covid-19. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: