HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 November 2020

Belanjawan 2021: 13 MP yang sokong undi belah bahagi

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

PARLIMEN | Dewan Rakyat menyaksikan kejadian yang jarang berlaku hari ini apabila pembangkang gagal mendapat sokongan cukup dari kalangan mereka sendiri untuk undi belah bahagi Belanjawan 2021.

Ini di sebalik perdebatan hangat ketika Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menyampaikan ucapan penggulungan di peringkat dasar Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 hari ini.

Sokongan 15 ahli Parlimen diperlukan untuk undi belah bahagi untuk tujuh blok dilakukan. Ini akan membolehkan undian setiap ahli Parlimen direkod secara rasmi.

Sebaik saja Tengku Zafrul menamatkan ucapannya, Mahfuz Omar (Amanah-Pokok Sena) bangkit bagi meminta undi belah bahagi.

Akhirnya, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun hanya mengira 13 ahli Parlimen pembangkang yang meyokongnya.

Daripada banyak gambar, rakaman video dan pertanyaan kepada sejumlah ahli Parlimen, Malaysiakini boleh menyimpulkan bahawa 13 orang itu ialah:

1. Khalid Abdul Samad (Amanah-Shah Alam)

2. Mahfuz Omar (Amanah-Pokok Sena)

3. Dr Hatta Ramli (Amanah-Lumut)

4. Hasanuddin Mohd Yunus (Amanah-Hulu Langat)

5. Dzulkefly Ahmad (Amanah-Kuala Selangor)

6. Hanipa Maidin (Amanah-Sepang)

7. Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi)

8. Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun)

9. Amiruddin Hamzah (Pejuang-Kubang Pasu)

10. Shahruddin Md salleh (Pejuang-Sri Gading)

11. Hassan Karim (PKR-Pasir Gudang)

12. Baru Bian (PSB-Selangau)

13. Mordi Bimol (DAP-Mas Gading)

Tanpa pengudian belah bahagi, Dewan Rakyat kemudian meluluskan RUU itu diluluskan di peringkat dasar menerusi undi suara.

Ada kemungkinan undi belah bahagi diadakan untuk tahap seterusnya iaitu peringkat jawatankuasa, di mana ahli Parlimen berpeluang meneliti peruntukan untuk setiap kementerian.

Beberapa ahli Parlimen PKR dan DAP memberitahu Malaysiakini bahawa kepimpinan parti telah mengarahkan mereka untuk tidak meminta undi belah bahagi.

Bagaimanapun kebanyakan ahli Parlimen Amanah seperti tidak mendapat mesej itu. Pada masa sama presidennya Mohamad Sabu, yang jua ahli Parlimen Kota Raja, tidak menyokong permintaan Mahfuz itu, yang merupakan anggota Amanah.

Tindakan Mohamad itu membayangkan langkah tidak meminta undi belah bahagi adalah keputusan PH. Dia juga dilihat bersama-sama pemimpin tinggi PH lain di sidang media selepas sidang.

Mordi Bimol (DAP-Mas Gading) memberitahu Malaysiakini yang dia menyokong Mahfuz kerana tidak menerima arahan kepimpinan parti sebelum undian dibuat.

"Saya tidak gembira dengan bahagian tertentu dalam RUU itu," katanya.

Anehnya, mesej untuk tidak meminta undi belah bahagi nampaknya turut sampai kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) dan Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) yang tidak menyokong undi belah bahagi.

Tiada ulasan: