HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 November 2020

Kenapa DAP bersungguh mahu mansuh Akta Hasutan? – Kamarul

MGF11062019_PARLIMEN_01
Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasturi Patto bercakap kepada media di Bilik Taklimat Bangunan Utama Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 11 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Niat dan motif sebenar DAP sekarang dipersoalkan kerana parti itu dilihat bersungguh-sungguh untuk memastikan Akta Hasutan 1948 dimansuhkan.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, ia seolah-olah tidak senada dengan apa yang didakwa oleh parti itu sebelum ini yang menghormati bahasa kebangsaan (Perkara 152), kedudukan istimewa orang Melayu (Perkara 153) dan kedaulatan Raja-Raja Melayu (Perkara 181).

Jelas beliau, Akta Hasutan 1948 secara tidak langsung akan melindungi Perlembagaan Persekutuan.

“Mengapa ahli-ahli Parlimen DAP bersungguh benar mahu memansuhkan Akta Hasutan 1948?

“Jika benar mereka hormat kepada perkara-perkara ini sepatutnya kekalkanlah Akta Hasutan 1948 kerana melalui Akta Hasutan 1948-lah perkara-perkara ini dilindungi dari dipersoalkan.

“Ataukah ini ada kaitannya dengan 70 laporan polis yang dibuat ke atas Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY). baru-baru ini atas dakwaan mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA)?” soalnya menerusi Facebook hari ini.

Kamarul Zaman berkata demikian mengulas persidangan Dewan Rakyat hari ini khususnya dua soalan dari Ahli Parlimen DAP yang bertanya mengenai status pemansuhan Akta Hasutan 1948.

Satu adalah soalan daripada Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah status pemansuhan Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta bilangan kes dalam siasatan, dakwaan dan sabitan dan usaha untuk menggantikan akta-akta ini dengan undang-undang yang lebih saksama dan progresif.

Satu lagi adalah soalan daripada Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang juga meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan sama ada Kerajaan akan memansuhkan atau meminda Akta Hasutan 1948 dan sekiranya tidak sama ada akta tersebut akan dipinda untuk sekurang-kurangnya mengiktirafkan niat tertuduh sebagai satu pembelaan.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: