Beberapa ahli DAP menuntut penjelasan daripada wakil rakyat parti itu selepas mereka didapati tidak bangun untuk menyokong cadangan agar Belanjawan 2021 diundi secara en bloc hari ini.
Undian en bloc - atau belah bahagi - memerlukan semua anggota parlimen dalam Dewan Rakyat mencatat undian mereka. Ia memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 15 ahli parlimen.
Bagaimanapun hanya 13 ahli parlimen yang berdiri semasa ia dicadangkan dan daripada jumlah itu hanya seorang wakil DAP serta seorang wakil Parti Sarawak Bersatu berdiri.
Dengan menolak cara pengundian tersebut, Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 disediakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah diterima melalui undian suara.
Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee, dan Adun Subang Jaya, Michelle Ng, dari DAP antara yang menuntut penjelasan berhubung insiden itu.
Bekas setiausaha politik veteran DAP, Lim Kit Siang, Dyana Sofya pula berkata walaupun berdepan kemungkinan undian itu akan tetap memihak kepada kerajaan, sekurang-kurangnya anggota parlimen pembangkang harus mencuba untuk menyokong cara pengundian en bloc.
“Kenapa tak boleh bangun je? Kalau kalah undi, kalahlah. Sekurang-kurangnya undi dan cuba,” ciapnya menerusi akaun Twitter.
Setiausaha politik Lim sekarang, Syahredzan Johan, pula berkata dia memahami keadaan yang berlaku namun pada masa sama mempersoalkan mengapa ia terjadi demikian.
Dia berkata pembangkang 'berhutang' kepada rakyat untuk memberikan penjelasan.
Pada masa sama terdapat anggota parlimen DAP menerima kritikan dari penyokongnya di dunia maya. Misalnya Anggota Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii.
Yii pada awalnya berkata, dia tidak akan menyokong belanjawan tersebut namun dia antara anggota parlimen yang tidak berdiri untuk menyokong pengundian secara belah bahagi.
“Bandar Kuching tidak akan menyokong belanjawan ini dan bersedia untuk berbahas lanjut di peringkat jawatankuasa,” tulisnya dalam akaun Facebook.
Yii kemudian menjelaskan alasannya untuk tidak menyokong pengundian secara en bloc dicadangkan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) kerana ia merupakan “keputusan kepimpinan” dan parti itu hanya akan mengundi ketika RUU itu sampai ke peringkat jawatankuasa.
Selepas peringkat dasar, RUU tersebut akan melalui peringkat kedua iaitu jawatankuasa. Dewan Rakyat akan meneliti peruntukan bagi setiap kementerian dan setelah itu, mereka mempunyai peluang untuk meminta pengundian belah bahagi lagi.
Anggota Parlimen DAP yang dihubungi Malaysiakini enggan mengulas lanjut dan sehingga kini tiada kenyataan rasmi dari parti tersebut.
“Pergi tanya Port Dickson (Anwar Ibrahim),” kata seorang anggota parlimen DAP kepada Malaysiakini.
Malaysiakini telah mengenal parti 13 anggota parlimen yang menyokong pengundian secara en bloc.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan