HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 November 2020

Adakah peruntukan JPM naik untuk bayar penasihat, duta khas, soal Anwar

Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mempersoalkan kewajaran Jabatan Perdana Menteri menerima peruntukan perbelanjaan mengurus sebanyak RM482 juta, manakala petugas barisan depan, nelayan dan golongan lain hanya diberi RM300 seorang dalam Belanjawan 2021.

Beliau mempertikaikan keperluan JPM menerima peruntukan tambahan 10.7% untuk tahun depan dan sama ada ia digunakan untuk membiayai gaji dan elaun pelbagai lantikan politik termasuk duta khas ke Timur Tengah dan China.

Anwar berkata lantikan-lantikan politik itu yang “tiada fungsi” ketika negara berdepan Covid-19.

“Sementara kita bagi RM300 kepada polis, petugas barisan depan, nelayan, dan sebagainya, kita lihat peningkatan untuk JPM bagi tujuan pengurusan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2021.

“Di JPM sahaja ada 5 menteri dan 5 timbalan menteri. Dilihat senarai perjawatan pula, (ada) penasihat khas media dan komunikasi, penasihat ekonomi, penasihat khas mengenai kesihatan awam, pejabat urusan khas, pejabat duta khas ke Timur Tengah, pejabat duta khas ke China, pejabat duta khas ke Jepun, Korea, dan Taiwan.”

Anwar tertanya keawajaran memberi upah kepada lantikan yang tidak berkesan dalam melawan Covid-19, seperti duta-duta khas yang “semua ada di Kuala Lumpur sahaja”.

“Apa peranan kementerian sehingga kita terpaksa lantik dan beban negara dengan jumlah pengurusan yang tinggi bawah JPM?” katanya.

Anwar tertanya apakah yang cuba kerajaan selindungkan di sebalik peruntukan ini, menarik perhatian kepada emolumen kakitangan kontrak.

“Ada pertambahan untuk kakitangan kontrak RM200 juta bagi 2021 – peningkatan RM181.4 juta berbanding tahun sebelumnya untuk pegawai kontrak.

“Kata ini kerajaan prihatin. Apa kaitan peruntukan RM181.4 juta ini dengan derita rakyat yang menunggu bantuan?”

Antara wakil rakyat yang dilantik sebagai duta khas adalah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, dan Presiden Parti Demokratik Progresi, Tiong King Sing.

Tiada ulasan: