Fareez Azman
Bekas
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan majoriti
ahli Parlimen pembangkang tidak menyokong usul undi belah bahagi sebagai
mengiktiraf kerajaan PN. - Gambar fail/ASTRO AWANI
KUALA LUMPUR:
Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir
Mohamad menyifatkan tindakan majoriti Ahli Parlimen pembangkang tidak
menyokong usul undi belah bahagi peringkat dasar Belanjawan 2021 sebagai
mengiktiraf kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Malah tindakan itu disifatkannya sebagai aneh.
"Pada
perbahasan Belanjawan 2021 semalam, kita dapati bukan sahaja parti
Kerajaan yang sokong, tetapi sebahagian besar ahli Parlimen pembangkang
menyokong. Ini aneh. Selama kerajaan Tan Sri Muhyiddin tertubuh, pihak
pembangkang berusaha untuk menjatuhkannya dengan undi tak percaya di
Parlimen.
"Tidak kurang 25 usul undi
tidak percaya dikemuka. Apabila belanjawan dibentang, pembangkang
bersuara kononnya akan menolak. Ada pemimpin yang datang berjumpa saya
sehari sebelum untuk nyatakan tentangan mereka," katanya dalam catitan
terbaharu di blog Chedet.cc
Malah
jelasnya, menentang di peringkat jawatankuasa seperti yang akan
dilakukan tidak memberi apa-apa kesan signifikan ke atas kerajaan
mahupun kepada belanjawan yang dike
mukakan.
"Apabila
belanjawan dilulus tanpa tentangan di peringkat bacaan kali ke-2 di
Dewan Rakyat, ini bermakna kerajaan sudah pun diiktiraf oleh
pembangkang, kecuali 13 ahli yang berdiri menentang.
"Menentang
di peringkat jawatankuasa, seperti yang dikata akan dilakukan, tidak
akan bawa apa-apa kesan signifikan ke atas kerajaan mahupun kepada
belanjawan yang dikemuka," katanya lagi.
Tambahnya,
menentang di peringkat jawatankuasa itu hanyalah usaha mengalih
pandangan kritikan rakyat yang kecewa dengan sikap pembangkang.
"Kerajaan
pintu belakang pimpinan Tan Sri Muhyiddin bukan dipilih rakyat.
Manipulasi dilakukan untuk merampas kuasa daripada kerajaan pilihan
rakyat. Tidak cukup di peringkat Pusat, kerajaan negeri Sabah yang jelas
dipilih rakyat juga dirampas dengan memaksa pilihan raya negeri
diadakan.
"Untuk kekal berkuasa, kerajaan
ini terpaksa sogok ahli Parlimen untuk dapat sokongan. Pada perbahasan
Belanjawan 2021 semalam, kita dapati bukan sahaja parti kerajaan yang
sokong, tetapi sebahagian besar ahli Parlimen pembangkang menyokong,"
katanya lagi.
Sebaliknya, Dr Mahathir mendakwa bahawa pelbagai 'gula-gula' ditawarkan untuk mendapatkan sokongan itu.
"Tidak
dapat tidak, kita cenderung untuk percaya yang pelbagai gula-gula
ditawar untuk dapat sokongan. Jika benar bermakna rasuah sudah sampai
tahap yang amat merbahaya kepada negara. Segala-gala boleh dibeli dengan
duit, termasuk kerajaan.
"Kerajaan
pilihan rakyat boleh dibeli dan dijatuh kerana wakil yang dipilih oleh
rakyat sanggup terima sogokan seperti yang kita lihat berlaku di Sabah.
Kerajaan yang tidak dipilih rakyat boleh rampas kuasa dan terus
memerintah negeri dan negara. Pembangkang sanggup berkrompomi dan tolak
prinsip dan gadai sokongan rakyat untuk kepentingan sendiri," soalnya
lagi.
Jelas Bekas Perdana Menteri itu
lagi, beliau dan kumpulan Pejuang akan terus menolak Belanjawan 2021
kerana melihat tiada manfaat jangka panjang kepada negara.
"Saya
dan kumpulan Pejuang akan terus tolak Belanjawan ini. Ini kerana kami
tidak nampak apa-apa manfaat jangka panjang kepada negara di dalam usaha
tangani masalah ekonomi yang merudum akibat COVID-19.
"Tidak
ada apa-apa rancangan untuk pulih dan kembangkan ekonomi serta bantu
perniagaan yang terjejas teruk. Yang ada hanya pemberian wang dan lebih
banyak wang yang ditawar untuk menawan hati rakyat. Tidak dinyata di
mana dan bagaimana Kerajaan akan dapat hasil untuk biayai semua ini.
"Kerajaan
yang menagih populariti dengan sogokan untuk kekal berkuasa tidak ada
beza dengan Kerajaan kleptokrat yang kita jatuhkan. Mereka hanya akan
hancurkan negara ini," kata bekas Perdana Menteri itu lagi.
Terdahulu,
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan pada
Jumaat memaklumkan bahawa beliau membuat keputusan meminta setiap Ketua
Whip parti pembangkang agar tidak menyokong usul undi belah bahagi di
Dewan Rakyat semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan