PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri Bugaya, Sabah diadakan serentak pada 16 Januari depan.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon ditetapkan pada 4 Januari manakala hari untuk mengundi awal adalah pada 12 Januari .
Beliau berkata, tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding sehingga pukul 11.59 malam pada 15 Januari ini
“PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 21 (5) Perlembagaan Negeri Sabah bagi mengisi kekosongan di kerusi-kerusi berkenaan.
“Bagi pelaksanaan kedua-dua PRK ini, SPR akan mengguna pakai Garis Panduan Pencegahan Covid-19 Bagi Pelaksanaan Pilihan Raya yang telah digunakan semasa PRU DUN Sabah Ke-12 dengan beberapa penamnbahbaikan.
“Semua aktiviti berkempen berbentuk ceramah, syarahan, kempen ziarah rumah ke rumah, walkabout dan pengedaran pamplet secara bersemuka adalah tidak dibenarkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Abdul Ghani menambah, calon kedua PRK itu digalakkan berkempen menggunakan saluran media sosial dan mereka dibenarkan untuk memasang bunting di dalam kawasan pilihan raya.
Jelas beliau, petugas parti atau calon perlu mengelakkan pertembungan semasa pemasangan bunting bagi mengekalkan penjarakan fizikal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan