HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 November 2020

Warisan kecewa dengan Anwar

 SUARA RAKYAT

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mengumumkan belanjawan kepada Kementerian Kewangan diluluskan selepas 107 ahli Parlimen bersetuju.

Seramai 95 ahli Parlimen tidak bersetuju manakala 19 ahli Parlimen tidak hadir.

Tiada seorang pun ahli parlimen Warisan hadir.

Seorang ahli parlimen dari Warisan, Rosman Isli berkata, ketiadaan mereka di Dewan Rakyat memang disengajakan kerana mahu menunjukkan rasa kecewa mereka kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Labuan itu lapor Malaysiakini berkata dia dan wakil lain Warisan berada di Kuala Lumpur namun bersepakat untuk tidak hadir dalam sesi undian berkenaan sebagai cara “menghantar isyarat” kepada Pakatan Harapan (PH).

“Kami dah penat dengan apa yang berlaku dalam blok pembangkang.

“Dan buat masa ini keputusan kami ialah, kami tidak akan menyertai sesi undi belah bahagi,” katanya.

Keadaan itu membolehkan rang undang-undang untuk Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan diluluskan selepas undi pihak kerajaan mengatasi bantahan pembangkang.

Kata Rozman ahli parlimen Warisan akan terus bersikap begitu sehingga ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Menurut ketua whip Warisan itu lagi mereka kecewa dengan “perbalahan” berterusan yang akhirnya menyebabkan kerajaan PH jatuh baru-baru ini.

Katanya Warisan juga sangat kecewa dengan arahan saat-saat akhir Anwar semasa Belanjawan 2021 diundi untuk diluluskan pada peringkat dasar pada Khamis lalu.

“Tanpa membuat sikap begini, pembangkang seperti tidak sedar perlunya keputusan tegas dibuat.

“Seperti apa yang berlaku pada Khamis yang lalu, kami diberi pemberitahuan pada saat-saat terakhir. Ia mengecewakan,” katanya.

Menurut Rozman lagi Warisan masih berada dalam blok pembangkang namun pada masa sama parti itu mahu menyampaikan mesej kepada pemimpin yang berkenaan, mereka tidak mahu didorong ke sana sini.

“Dan saya tidak fikir mereka melakukan strategi yang tepat (atau) gerakan yang tepat,” katanya lagi.

Tidak seperti dijangka Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz melepasi halangan pertamanya selepas cubaan mencabar sokongan ke atas usul itu gagal di Dewan Rakyat pada 26 Nov lalu.

Ketika orang ramai menjangkakan ia mungkin terkandas – dan membawa kepada kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional – belanjawan tersebut diterima secara majoriti apabila Anwar mengarahkan pembangkang agar tidak menyokong usul agar ia diundi secara belah bahagi.

Selain penyokong PH, arahan tersebut juga mengecewakan sesetengah ahli parlimen PH.

Rozman – yang meninggalkan UMNO untuk menyertai Warisan pada Okt 2018 – berkata partinya mahu memberi tekanan kepada PH agar memilih pemimpin baru kerana ia memberi kesan kepada peluang mereka menghadapi pilihan raya umum (PRU).

“Tanpa arah tuju yang jelas dan tanpa perpaduan yang ketara, saya tak fikir kita mampu bersaing dalam PRU akan datang.

“Maka sebelum berdepan perang sebenar, kita perlu memberi sedikit isyarat, (melakukan) sedikit langkah bagi memastikan semua pihak dalam pembangkang mula sedar di sana perlu kepimpinan yang kuat dalam blok pembangkang.

“Warisan dah bosan dengan perbalahan dalaman dan beras pembangkang perlukan kepimpinan baru. Ada ramai pemimpin muda sama ada dalam PKR atau parti lain,” katanya.

Selain Rozman, ahli parlimen Warisan yang tidak hadir hari ini ialah Mohd Shafie Apdal (Semporna), Darell Leiking (Penampang), Isnaraissah Munirah Fakharudy (Kota Belud), Azis Jamman (Sepanggar), Ma’mun Sulaiman (Kalabakan), Ahmad Hassan (Papar) dan Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu).

Turut tiada dalam Dewan Rakyat ialah Chow Kon Yeow (Tanjung), Christina Liew (Tawau), Masir Kujat (Sri Aman) dan Awang Husaini Sahari (Putatan).

Pada masa sama lima wakil kerajaan juga tidak hadir iaitu Najib Razak (Pekan), Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Richard Riot Jaem (Serian) dan Willie Mongin (Puncak Borneo).  – Suara Merdeka

Tiada ulasan: