HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 November 2020

Persidangan Dewan Rakyat ditambah 2 hari

azrulhakimie

 

Diperuntuk untuk pembentangan RUU, urusan kerajaan lain

KUALA LUMPUR, Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 ditambah dua hari lagi menjadikan tempoh bersidang keseluruhan selama 29 hari dan tamat pada 17 Disember ini.

Menurut surat Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat kepada Ahli Parlimen Jumaat lepas, pindaan berkenaan selaras Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Berdasarkan peraturan berkenaan, Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari semasa ke semasa.

Persidangan Dewan Rakyat sebelum ini dijadual tamat pada 15 Disember dengan sesi perbahasan Belanjawan 2021 pada peringkat Jawatankuasa.

Menurut surat berkenaan, tambahan dua hari ini diperuntuk untuk pembentangan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain.

Pindaan turut dibuat kepada takwim persidangan Dewan Negara yang akan bersidang mulai 16 hingga 23 Disember berbanding tarikh asal sebelum ini dari 14 hingga 23 Dis.

Menurut surat daripada Pejabat Setiausaha Dewan Negara kepada Ahli Dewan Negara, tempoh berkenaan ditetapkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Ketua Majlis Mesyuarat melalui satu surat bertarikh 11 Nov kepada Yang Dipertua Dewan Negara.

Ia selaras Peraturan Mesyuarat 10(2) dan 14(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara yang berdasarkan peraturan Mesyuarat 10(2), penetapan tarikh majlis bermesyuarat perlu ditetapkan Ketua atau Timbalan Ketua Majlis sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap penggal.

Mengikut Peraturan Mesyuarat 14(2) pula, urusan kerajaan perlu diaturkan mengikut sebagaimana yang baik pada timbangan kerajaan dan diberitahu kepada setiausaha. – Bernama

Tiada ulasan: