Ridauddin Daud
Muhyiddin
Yassin berkata, beliau cakna dengan keluhan rakyat yang mula berasa
muak dengan permainan politik yang tidak berkesudahan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR :
Sekarang adalah masanya untuk berkhidmat kepada rakyat dan mengamalkan
politik khidmat, politik prihatin, politik kerja, bukannya politik
berebut kuasa.
Presiden Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau
cakna dengan keluhan rakyat yang mula berasa muak dengan permainan
politik yang tidak berkesudahan.
Menurutnya, rakyat mahu pemimpin politik membantu mereka, bukan selamanya berebut kuasa.
“Inilah masanya Bersatu bangkit membantu rakyat. Ini peranan saudara dan saudari sekalian di peringkat bahagian dan cawangan.
“Dalam
keadaan kehidupan rakyat sedang terjejas akibat pandemik COVID-19,
ramai yang sedang menunggu bantuan di luar sana. Ramai yang sedang
susah. Ada yang sakit. Ada ibu tunggal, orang kurang upaya dan lain-lain
yang mengharapkan bantuan kita.
"Sampaikanlah
khidmat dan bantuan anda kepada mereka yang memerlukan. Saya percaya
rakyat akan lebih menghargai saudara dan saudari sekalian jika inilah
yang saudara dan saudari lakukan," katanya ketika menyampaikan Ucapan
Dasar Presiden secara maya dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada
Sabtu.
Dalam masa sama, Muhyiddin menggesa jentera parti dipersiapkan secepat mungkin bagi menghadapi pilihan raya.
“Latihan
untuk jentera pilihan raya parti mesti dimulai dari sekarang. Jangan
kita tunggu di saat akhir untuk melakukan persediaan.
“Kesiapsiagaan
jentera pilihan raya adalah penting kerana pilihan raya berkemungkinan
boleh diadakan pada bila-bila masa,” ujarnya.
Tambahnya
lagi, beberapa pindaan akan dibuat terhadap Perlembagaan parti dan ia
adalah sebahagian daripada proses untuk menambah baik kekuatan parti.
“Pindaan-pindaan
ini adalah penting untuk memastikan parti kita dapat berfungsi dengan
lebih baik sesuai dengan realiti semasa. Ini termasuklah pindaan
fasal-fasal tertentu dalam perlembagaan parti untuk menubuhkan Sayap
Ahli Bersekutu.
“Ini adalah satu lonjakan
utama dalam proses pematangan parti kita sebagai sebuah parti pribumi
yang bersifat terbuka dan inklusif dalam sebuah masyarakat majmuk yang
demokratik, harmoni dan bersatu-padu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan