HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 Disember 2008

38 kes ceroboh hutan dilapor tahun ini

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Sebanyak 38 kes yang melibatkan pencerobohan kawasan-kawasan hutan simpan kekal dilaporkan pada tahun ini, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Senator Datuk Maznah Mazlan berkata, daripada jumlah kes tersebut sebanyak RM1 juta hingga RM3 juta kompaun dikenakan kepada pihak yang terlibat dalam kes berkenaan.

"Dalam jumlah 38 kes yang disebut itu, 27 daripadanya sedang dalam siasatan manakala 11 kes lagi telah selesai disiasat," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Heng Seai Kei pada Persidangan Dewan Negara di sini.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Senator Mumtaz Md Nawi yang bertanya mengenai langkah-langkah yang dikenal pasti pihak kementerian untuk mencegah aktiviti pencerobohan tersebut, Maznah menjelaskan kementerian telah menambah bilangan penguatkuasa bagi memantau aktiviti terbabit.

"Kita telah menambah bilangan tenaga penguatkuasa daripada 168 kepada 212 orang. Selain itu kita mempunyai teknik pemantauan yang lebih berkesan iaitu dengan penggunaan teknologi penderiaan jauh atau "remote sensing" dan sistem GIS (Sistem Maklumat Geografi) dengan kerjasama Agensi Remote Sensing Malaysia yang mana melalui kaedah ini ia menggunakan imej satelit untuk mengesan perubahanperubahan kawasan," katanya.

Tiada ulasan: