HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 Disember 2008

Kontroversi: Filem Histeria Memaparkan Adengan Lesbian...

PAHANG DAILY ONLINE


Apa sudah jadi dengan Negara Islam Hadhari?. Semakin hari semakin ngeri dengan berbagai aksi yang cukup menyayatkan hati. Apakah kerajaan sudah "buta hati" untuk menilai segala yang terjadi. Dalam pada mereka menerapkan konsep Islam Hadhari itu sendiri, kini rakyat semakin dipesongkan dengan adengan-adengan yang jauh tersasar dari konsep itu saban hari. Sebelum ini kami pernah mendedahkan tentang penghinaan Islam yang dilakukan dalam beberapa buah filem di negara kita seperti Sepet, Dunia Baru The Movie dan banyak lagi. Kini satu lagi adengan yang tidak sepatutnya berlaku telah dipaparkan dalam satu lagi filem yang sedang hangat ditayangkan di pawagam.

Filem "Histeria" yang dipercayai telah memaparkan adengan "cium-cium" antara sesama perempuan kini semakin menimbulkan kontroversi. Apa tidaknya, filem itu jelas sekali menggalakkan "unsur Lesbian" kepada generasi muda hari ini. Biarpun sebelum ini kita banyak mendengar masalah gejala sosial yang kian melanda serta merosakkan anak-anak muda. Namun, kerajaan seolah-olah tidak langsung mahu mengambil iniseatif dan mengawal sensitiviti umat Islam di negara ini.

‘Histeria’, adalah filem arus perdana pertama arahan James Lee terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB). Ia dikatakan sebuah filem seram yang bersifat lebih universal. James Lee adalah pengarah ‘Indie’ terkenal dengan hasil sentuhan seperti “Beautiful Washing Machine” dan “Before We Fall In Love Again” yang telah memenangi anugerah Filem Cereka Terbaik Asean pada Festival Filem Antarabangsa Bangkok 2005.

Pertemuan James Lee dan Gayatri Su-lin Pillai, Pengurus Besar TUSB lima (5) tahun lalu di Festival Pasaran Filem Hong Kong telah menghasilkan Histeria yang berkonsep "rentas budaya". Setelah menjelajah ke Festival Filem Antarabangsa Singapura dan Festival Filem Antarabangsa Bangkok 2008, Histeria telah mendapat banyak kata pujian dari pengkritik pengkritik filem antarabangsa. Dengan kos pembikinan sebanyak RM 1.4 juta, Histeria boleh dikategorikan sebagai sebuah filem seram versi Hollywood yang amat popular di era 80an seperti ‘Evil Dead’ dan ‘Friday 13th’.

Filem bercorak sebegini mengandungi banyak elemen seram tetapi ringkas dan mudah difahami. Selain menerapkan “Asian twist” dengan acuan dan unsur mistik Melayu popular; “Hantu Raya”, James turut menggunakan pencahayaan yang kurang bagi memberangsangkan mood filem ini.

Kemunculan Histeria sebagai sebuah filem seram yang diberi sentuhan berbeza dalam konteks lebih segar dengan nafas seram versi Hollywood akan menemui peminat layar perak di 47 buah pawagam seluruh Malaysia bermula 18 Disember 2008 lalu.

Selain itu, lagu tema filem Histeria nyanyian Nadia AF6 hasil gubahan Nur Zaidi Abd Rahman kini telah mula berkumandang di stesen stesen radio tempatan. Bagi menghangatkan aktiviti promosi filem Histeria, barisan pelakon seperti Liyana Jasmay, Scha, Ainul Aishah, Talya, Adiputra, Vanida Imran dan lain lain akan menemui peminat melalui beberapa siri jelajah di beberapa negeri terpilih Semenanjung Malaysia. ‘Histeria’ adalah sebuah kisah seram yang berlaku di salah sebuah sekolah terpencil.

Enam orang pelajar nakal iaitu Alissa, Tini, Marina, Murni, Junita dan Kerek yang menamakan kumpulan mereka sebagai ‘The Pink Ladies’, berpura-pura terkena histeria hingga terpaksa dipanggil bomoh untuk memulihkan mereka. Namun tindakan mereka itu mengundang masalah lain, apabila mereka berenam dikenakan denda membersihkan kawasan sekolah selama seminggu ketika cuti semester.

Kehadiran Zeta untuk memastikan mereka menyelesaikan denda secara tiba-tiba dalam kumpulan tersebut juga menjadi tandatanya. Kejadian demi kejadian yang misteri dan menakutkan dialami oleh mereka semua. Ianya bermula selepas Junita mengambil “sesuatu” yang bukan miliknya. Keadaan bertambah celaru dan mengerikan apabila seorang demi seorang dibunuh secara kejam.

Melihat kepada perjalanan plot ceritanya, nampak filem ini sememangnya ada kekuatannya tersendiri. Namun kami amat terkejut dengan watak lesbian yang dipaparkan dalam cerita itu. Soalnya apakah kerajaan Islam Hadhari sudah "buta mata" untuk melihat senario yang berlaku ini. Kenapa adengan sebegini boleh terlepas oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM)?. Apa yang mereka tapis sebenarnya, atau sengaja ingin mencari populariti. Kami difahamkan, sebelum ini LPFM bukan main lantang mengkritik mana-mana filem yang memaparkan unsur lucah dan berbaur seks.

Malahan ahli parlimen BN sendiri bukan main lantang mengkritik filem-filem berkenaan di Dewan Rakyat seperti filem pendek "comolot" yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini. Apakah motif adengan Lesbian dipaparkan dalam filem "Histeria" ini.

Mungkinkah ini bermakna, kerajaan menggalakkan adengan seperti itu berlaku dikalangan rakyat Malaysia?. Sebenarnya adengan seperti ini lesbian, gay dan sebagainya memang sudah menjadi satu trend baru dalam masyarakat Islam di negara kita. Ini membuktikan bahawa Islam Hadhari telah gagal dan ternyata satu retorik politik semata-mata.

Tiada ulasan: