HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Disember 2008

Beza Permatang Pauh dengan Kuala Terengganu

Zukifli Yahaya


"Permatang Pauh, isu utama BN ialah liwat dan sumpah. Kali ini Hudud jadi isu utama pilihan raya kecil Kuala Terengganu"

"Kuala Terengganu tidak boleh disamakan dengan Permatang Pauh," kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Segalanya berbeza, kata bakal Presiden Umno itu sambil membayangkan bahawa BN akan menang mudah.

"Kita tidak mampu untuk kalah," ujar Najib. Angkuh sekali ungkapannya. Idris Jusoh, Shabery Cheek, bakal calon BN Wan Farid Wan Salleh serta lain-lain pemimpin BN senada mengulas; BN akan mempertahankan kerusi Kuala Terengganu dengan majoriti lebih besar.

Dalam hampir semua pilihanraya kecil yang berlaku selepas Pilihanraya Umum 1999, BN mencatatkan kemenangan yang lebih baik berbanding pilihan raya umum yang dilalui sebelumnya. Keyakinan para pemimpin BN bahawa mereka akan mendapat majoriti lebih besar mungkin berpandukan pengalaman tersebut. Kemungkinan kedua ialah kenyataan itu dikeluarkan hanya untuk memberi kekuatan moral kepada petugas BN yang rata-rata merasa sangsi bahawa parti itu akan menang.

Sebenarnya terdapat dua cabaran paling besar yang dihadapi BN dalam pilihan raya kecil ini, yang jika tidak dapat diatasi mereka akan jatuh tersungkur. Pertama, mereka tidak ada keupayaan mutlak untuk menang kerusi tersebut. Maksudnya, sokongan asas terhadap BN tidak mengatasi PAS.

Pelbagai faktor diandaikan terhadap kemenangan tipis BN dalam pilihanraya umum lalu. Antara yang diperkatakan ialah faktor calon. Kononnya calon BN ada pengaruh peribadi dan calon PAS orang luar. Ertinya, kalau isu calon 'bereh' maka undi yang akan diterima PAS akan seragam dengan undi perolehan DUN, iaitu PAS mengatasi BN.

Kedua, faktor pengundi bukan Melayu. Pemilih Cina mewakili 11.56 peratus dari jumlah keseluruhan pemilih iaitu 9,290 orang dari keseluruhan 80,370 pemilih. Jumlahnya kecil tapi tetap jauh lebih besar dari majoriti dimenangi BN, 628 undi. Pilihanraya umum lalu, hanya dianggarkan 30 peratus undi kaum Cina memihak kepada PAS. Tidak berlaku Tsunami politik di Terengganu masa itu.

Tapi sekarang, kaum Cina lebih teruja untuk memihak kepada Pakatan Rakyat selepas lima negeri jatuh ke tangan PR. Buktinya, dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh, semua peti undi Cina menunjukkan peningkatan mendadak berbanding keputusan 8 Mac 2008. Sokongan pemilih Cina terhadap PR lebih didorong oleh kebencian mereka terhadap UMNO yang tidak habis-habis mencanangkan isu perkauman selepas kemerosotan prestasi mereka dalam pilihan raya umum lalu.

Cuba menjarakkan hubungan PAS dan DAP

Dalam situasi yang ada sekarang, cakap Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng lebih berwibawa di kalangan masyarakat Cina berbanding cakap Ong Tee Kiat dan Koh Tsu Koon. Ini yang memeningkan kepala pemimpin BN. Harapan untuk kalah sudah terbayang di ruangan mata. Sebab itulah tak semena-mena isu hudud dicanangkan. Inilah satu-satunya isu yang mereka fikir boleh menjarakkan PAS dan DAP.

Jika dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh, isu utama BN ialah liwat dan sumpah, maka percayalah untuk pilihan raya kecil kali ini isu utama BN ialah hudud. Petaka besar bagi BN jika para pemimpin DAP Pusat turun habis-habisan di Kuala Terengganu, mengetuk setiap pintu rumah orang Cina supaya mengundi PAS. Jika hal ini berlaku, BN sudah boleh mengangkat bendera putih tanpa perlu menunggu fajar 17 Januari 2008.

PAS pun ada cabaran besar dalam pilihan raya kecil ini. Perkara yang paling ditakuti ialah jika pemilih termakan umpan yang disogokkan. Itu saja. PAS tidak pernah kalah dalam berhujah dan berkempen. Tapi jika pihak lawan membalas serangan PAS dengan merasuah pengundi, PAS tidak mampu 'berlawan' kembali dengan cara yang sama. Sebab bagi PAS matlamat tidak menghalalkan cara seperti diamalkan BN.

Almarhun Dato'Fadzil Noor menggambarkan perangai Umno dalam isu rasuah, sama macam Yahudi. Yahudi mengharamkan amalan mengambil riba sesama mereka tetapi menghalalkan riba dengan masyarakat bukan Yahudi. Demikian juga Umno mengharamkan rasuah di kalangan mereka (tapi tidak terbendung pun !) sebaliknya menghalalkannya ketika menarik sokongan rakyat untuk terus menyokong mereka.

Di Permatang Pauh lalu BN menggunakan strategi yang sama di saat terakhir untuk 'membeli'engundi. Masalah besar dihadapi mereka ialah mencari ejen yang benar-benar bodoh bagi mempastikan habuan yang mahu dihulurkan sampai kepada sasaran.

Apabila sebahagian besar ejen pengagih habuan terdiri dari orang pandai yang tahu akan nilai 'habuan' tersebut, maka ia tidak sampai ke sasaran. Macam kirim duit kepada seseorang menggunakan khidmat toyol. Itu antara sebab kegagalan mereka.

Jadi, kepung betul-betul pembeli undi di saat akhir. Insya Allah PAS akan menang di Kuala Terengganu. - azm _

Tiada ulasan: