MSTAR ONLINE
KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Umno yang meminta sogokan untuk diri sendiri bagi menyokong calon jawatan parti masih boleh terlepas daripada tindakan disiplin akibat kelemahan Tataetika Ahli Umno walaupun peraturan itu baru saja dipinda Mac lepas.
Sambil mencadangkan agar tata etika itu dipinda sekali lagi, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata, pada masa ini tidak ada peruntukan bahawa ahli yang meminta imbuhan, sama ada dalam bentuk kewangan ataupun lainlain sebagai bayaran bagi undi atau sokongan, dikenakan tindakan.
"Kalau boleh kita pinda dan tambah perkara ini agar yang minta duit pun bersalah. Sekarang tak ada," katanya kepada Bernama di sini.
Perkara 5 tata etika itu, yang dipinda pada Mac lalu, menetapkan bahawa salah laku berkaitan rasuah/sogokan politik dibahagikan kepada tiga kategori iaitu:
* Menyalah guna kuasa secara langsung atau tidak langsung sama ada secara sendiri atau melalui orang lain bagi pihaknya, untuk mendorong atau memaksa orang mengundi atau tidak mengundi mana-mana orang dalam mana-mana pemilihan parti, sama ada bagi pihaknya atau bagi pihak lain;
* Memberi, meminjam, meminta atau bersetuju untuk memberi, meminjam, meminta atau menawarkan, menjanjikan atau berjanji untuk mendapatkan wang atau apaapa balasan bernilai bagi seseorang anggota parti atau orang lain dengan tujuan mendorong anggota supaya mengundi atau tidak mengundi pada mana-mana pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak lain; dan
* Memberi atau menerima, atau membenarkan anggota keluarganya atau mana-mana orang untuk memberi atau menerima bagi pihaknya secara langsung atau tidak langsung kepada atau daripada mana-mana anggota Umno hadiah, benda atau faedah sama ada secara zahir atau sebaliknya, bagi mendorong seseorang anggota parti supaya mengundi atau tidak mengundi pada mana-mana pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau pihak lain.
Beberapa pegawai kanan Umno mengesahkan bahawa pihak yang dimaksudkan dalam salah laku ini ialah calon dan ejen bagi pihak calon atau bagi pihak perwakilan dan bukan merujuk kepada ahli yang meminta sogokan untuk diri sendiri.
Pemerhati politik berpendapat pindaan yang dicadangkan itu adalah relevan kerana rmai anggota peringkat akar umbi mendakwa perbuatan ahli meminta sogokan untuk diri sendiri menjadi semakin berleluasa semasa mesyuarat agung cawangan dan bahagian Umno baru-baru ini.
Penasihat Undang-undang Umno, Datuk Mohd. Hafarizam Harun dalam satu temu bual dengan Bernama bulan lepas turut mengakui mendengar dakwaan semakin ramai anggota yang mendekati bakal-bakal calon meminta sogokan jika mahukan undi mereka.
Perkembangan ini, katanya, telah meletakkan sebahagian daripada bakal calon dalam keadaan serba salah dalam usaha mereka mendapatkan pencalonan yang mencukupi untuk melayakkan diri bertanding jawatan parti.
Bagaimanapun beberapa pemimpin Umno, walaupun mengalualukan cadangan itu, berpendapat Lembaga Disiplin tidak perlu peraturan khusus untuk mengambil tindakan terhadap anggota yang melanggar disiplin parti kerana ia boleh bertindak mengikut budi bicara seperti yang pernah dilakukan dalam beberapa kes disiplin sebelum ini.
Ketua Pemuda Umno Johor Datuk Razali Ibrahim memberi contoh penggantungan hak keanggotaan Datuk Ahmad Ismail yang dibuat atas dasar budi bicara selepas ketua bahagian Umno Bukit Bendera itu didapati bersalah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman tidak lama dulu.
"Dalam tataetika, peruntukan mengenai kesalahan (Ahmad) itu tak ada. Tetapi tindakan tetap diambil sebab yang salah tetap salah.
"Jadi jangan beritahu kita disebabkan tak ada peruntukan dalam tataetika maka tindakan tidak boleh diambil sebab dalam isu rasuah politik ini yang memberi salah, yang meminta pun salah," katanya.
Razali, yang juga Anggota Parlimen Muar, berpendapat dalam isu anggota Umno meminta sogokan untuk diri sendiri, mereka boleh dikenakan tindakan menerusi peruntukan salah guna kuasa, iaitu perwakilan menyalahgunakan kuasa mereka sebagai pemberi undi.
"Cadangan itu memang baik tapi pada saya pindaan ini tidak penting kerana yang penting adalah tindakan diambil terhadap mereka yang memang benarbenar bersalah," katanya.
Beliau juga berkata, saranan itu boleh menimbulkan kesan buruk terhadap lembaga disiplin dan Umno.
"Saya bimbang sebab banyak sangat kenyataan nak buat macam-macam, tapi bila orang tak nampak tindakan, mereka akan mencemuh.
"Selain itu kenyataan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin ini juga membawa persepsi seolaholah gejala rasuah politik berleluasa dalam Umno," katanya.
Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee yang bersetuju dengan pandangan itu berpendapat lembaga disiplin sepatutnya menumpukan perhatian untuk menyelesaikan setiap aduan salah laku disiplin dengan lebih cepat dan telus.
"Saya tak ada masalah dengan cadangan itu jika ia membawa kebaikan kepada Umno tetapi janganlah sampai Umno ini dibenci, punah, sebab kenyataan sedemikian membawa implikasi parti ini terlalu korup," katanya.
Beliau berpendapat masalah rasuah politik dalam Umno tidak seburuk seperti yang dianggap oleh orang ramai memandangkan gejala itu cuma melibatkan segelintir sahaja.
Syed Ali tidak menolak kewujudan budaya yang melibatkan perwakilan meminta sogokan.
"Pada saya ini terpulang kepada calon yang nak bertanding. Dia tahu rasuah politik ini salah dan jika dia berhemah dia patut buat aduan bahawa ada perwakilan minta sogokan daripada dia, habis cerita," katanya.
Pemilihan Umno bagi peringkat majlis tertinggi yang dijadual berlangsung semasa perhimpunan agung parti dari 24 hingga 28 Mac tahun depan melibatkan pertandingan bagi semua peringkat kecuali untuk jawatan presiden yang telah dimenangi tanpa bertanding oleh Datuk Seri Najib Tun Razak ekoran pengunduran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan