HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 Disember 2008

Umum calon lambat: Masalah atau taktik PAS?

msomelayu.blogspot.com


PAS membatalkan niatnya untuk mengumumkan calonnya pada Ahad lalu, 21 Januari. Tarikh baru yang dicari ialah pada 1 Januari. Mungkin 21 bukan hari kemenangan bagi Pas sebaliknya 1 Januari tarikh baik. Tak mengapa angka satu masih ada.

Kalau Pas juga bermain dengan numerologi (angka), nampaknya satu angka satu sudah diperolehi Umno iaitu Umno menjadi parti nombor 1 mengumumkan calon. Umno dah umum calonnya seperti mana yang diramalkan saya sejak awal iaitu, Senator Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Menurut Abdul Hadi Awang seperti mana dipetik dalam sidang akhbar, Pas akan mengumumkan calonnya di Stadium Negeri di Kuala Terengganu. Pas sedang memohon untuk menggunakan stadium berkenaan. Pemilihan tempat itu pun ada muslihatnya, ia mungkin untuk menampung kehadiran yang ramai.

Atau pun mungkin juga Pas sudah pasang perangkap. Bila stadium itu tidak dibenarkan Pas akan menjadikan sebagai isu tambahan dalam pilihan raya berkenaan. Pas akan tuduh Umno mengamalkan politik tertutup atau araggont of power kata si baju petak-petak merah.

Menurut sumber dalaman Pas, calon telah pun diputuskan. Mesyuarat Jawatankuasa Agung Pas semalam membincang panjang lebar dan meneliti calon-calon yang dikemukakan. Soalnya kalau sudah ada keputusan kenapa tunggu sampai 1 Januari? Tidak baik terlalu lama atau ditangguhkan sedangkan Umno sudah pun mengumumkan calonnya. Dari segi semangatnya Umno sudah menang.

Apakah berlaku perselisihan faham dalam menentukan calonnya ini atau dalam proses mengumumkannya? Sebelum ini Pas ada menyebut nama calon itu akan diumumkan oleh Mursyidul Am mereka, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Pastinya Pas mahu mendapat restu dan keberkatan daripada tok guru itu.

Mungkin kerana pengumuman itu telah diputuskan akan dibuat oleh Nik Aziz maka Abdul Hadi tidak boleh mengumumkannya dalam sidang akhbar, walhal Abdul Hadi yang memiliki kuasa eksekutif yang berhak membuat pengumuman kepada umum. Jadi di sini tidak timbul rasanya Pas tidak dapat putuskan calon lagi atau sedang menimbang mana-mana yang lebih baik.

Jadi para pemerhati politik masih berpelung untuk berteka teki mengenai siapa calon Pas ini. Tindakan Pas ini juga menjadikan pemerhati masih memfokus kepada pilihan raya kecil berkenaan. Mungkin cara itu menyebabkan Pas akan mendapat perhatian lebih dari orang ramai berbanding dengan BN.

Diingat dan iharapkan setakat berteka teki tidak mengapa tetapi jangan pula keputusan yang dibuat itu berubah ataupun diubahkan lagi. Jangan pula kalau calon itu tidak seperti mana kehendak Mursyidul Am Pas pada asalnya maka ia akan diperbaiki ataupun diusahakan agar diganti dengan orang yang memihak kepada satu-satu pihak yang berjaya mempengaruhi Nik Aziz.

Ini ditimbulkan bukan apa. Selalu berlaku dalam Pas berkaitan dengan sikap Nik Aziz yang sering mengubah sesutau keputusan itu disaat-saat akhir yang mana ia boleh menimbulkan masalah. Banyak contoh kalau hendak dikata dan diperturunkan di sini mengenai beberapa tindakan Nik Aziz yang boleh dipertikaikan sebelum ini. Biarlah tidak diperturunkan nanti boleh menimbulkan kemarahan pula.

Dalam Pas apa-apa yang diputuskan atau pandangan Nik Aziz itu jarang boleh dihalang atau ada pihak yang berani menghalangnya. Penghormatan kepada Nik Aziz terlalu tinggi yang kadang-kadang membawa masalah kepada Pas sendiri. Anihnya keputusan yang dibuat itu kadang kala boleh diubah apabila ada yang bijak mempengaruhi view politik beliau hatta ianya melanggari prinsip Pas dan Islam.

Berbalik kepada calon Pas di Kuala Terengganu nanti apakah kelewatan itu disebabkan berulangnya amalan-amalan yang tidak profesional dan Islamik ini? Apapun biarlah calon yang dipilih nanti memenuhi kehendak pengundi dan jangan kerana sekadar memenuhi kehendak dan kepentingan politik tertentu.

Tiada ulasan: