HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Disember 2008

Senarai semak daftar pemilih sangat tidak bersih - Perantau

Intan Abdullah


KUALA TERENGGANU - Seramai 75 orang berumur lebih 100 tahun didapati termasuk dalam senarai semak daftar pemilih yang akan digunakan pada pilihan raya kecil P.36 Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini.

Setiausaha Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan (Perantau), Mohd Suhaimi Embong berkata, daripada 80,229 orang yang didaftarkan sebagai pemilih terdapat kira-kira 75 nama pengundi yang berusia lebih 100 tahun.

"Perantau mendapati sebanyak 75 nama pengundi yang berusia lebih 100 tahun, termasuk mereka yang berumur 116 tahun," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau turut mendakwa sebanyak 302 orang yang berumur lebih 90 tahun, manakala 1,308 orang pula di kalangan mereka yang berumur lebih 80 tahun.

"Kebanyakan mereka itu telah meninggal dunia tetapi masih tidak dikeluarkan daripada data senarai pemilih yang terkini atau dengan kata lain data Suruhanjaya Pilihan Raya sangat tidak bersih.

"Malah banyak kesalahan yang disengajakan untuk membenarkan 'hantu' berkumpul," katanya lagi.

Oleh itu, pihaknya menggesa SPR mengambil tindakan untuk segera mengemaskinikan senarai semak daftar pemilih terbabit.

"Perantau mendesak SPR agar segera membersihkan daftar pemilih sebelum disahkan untuk kegunaan pada pilihan raya kecil ini," ujarnya

Pada masa sama, kebimbangan beliau ini akan disertai dengan tindakan pemantauan di kalangan jentera pilihan raya semua peringkat bagi memastikan tiada ralat yang disengajakan berlaku untuk memenangkan pihak tertentu pada 17 Januari ini. - mns_

Tiada ulasan: