HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Disember 2008

Hentikan sambutan tahun baru, demonstrasi bantah Zionis Jumaat ini

Izwan Abdul Halim


KOTA SARANG SEMUT - Pemuda PAS Negeri Kedah mengajak seluruh masyarakat yang cintakan kedamaian agar hadir beramai-ramai ke demonstrasi membantah kezaliman Zionis Israel ke atas umat Islam Palestin, selepas solat Jumaat, 2 Januari ini di Masjid Sultan Muzaffar Shah, Sungai Petani.

Menurut Ketuanya, Ustaz Musoddak Ahmad, Pemuda PAS Kedah mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bertamadun Zionis Israel yang mengekalkan tradisi membunuh dari zaman ke zaman dan turut kesal terhadap badan-badan dunia yang sehingga kini terus membisu membiarkan penghujung tahun ini diakhiri dengan kehilangan nyawa umat Islam dan penduduk Palestin.

"Ini bukan kali pertama Zionis Israel bertindak sedemikian, perkara berulang yang sepatutnya pihak-pihak badan dunia sudah ada kesiap-siagaan untuk bertindak.

Lihat sahaja masyarakat yang celik di seluruh dunia bangkit menyatakan bantahan mereka, pemimpin dan badan-badan dunia juga patut untuk tidak berasa gusar untuk bertindak sewajarnya. Atau apakah mungkin mereka masih berdiam diri kerana turut merestui tindakan itu?" katanya memberitahu wartawan Harakahdaily.

Sehubungan itu juga beliau menegaskan, sesuai dengan Islam sebagai agama rasmi negara ini, maka Malaysia perlu menghentikan sebarang bentuk program sambutan tahun baru yang menjurus kepada maksiat sebagai tanda persaudaraan dan simpati kepada umat Islam Palestin.

"Buktikan sokongan kepada saudara kita di sana (Palestin) sekurang-kurangnya dengan membatalkan serta-merta penganjuran sambutan tahun baru yang hanya semata-mata untuk berseronok dan membiakkan maksiat," ujar beliau menyeru.- azm _

Tiada ulasan: