HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 Disember 2008

Dewan Negara digesa tolak SPK

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - Walaupun telah meluluskan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2008, Ketua Penerangan PAS Mahfuz Omar tetap berharap Dewan Negara menolak Rang Undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008 (SPK).

"Keadaan boleh diselamatkan jika Dewan Negara menolak rang undang-undang itu. Ahli-ahli Dewan Negara mesti mengambil kira pelbagai kebimbangan yang dibangkitkan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad terhadap rang undang-undang itu," katanya.

Dewan Negara, katanya lagi, mesti mengambilkira bahawa rang undang-undang itu akhirnya boleh menyebabkan keputusan dan institusi Yang di-Pertuan Agong dipertikaikan secara terbuka.

"Dalam perbahasan di Dewan Rakyat, Ahli-Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat (PR) telah mengemukakan pelbagai cadangan untuk memperbaiki kedua-dua rang undang-undang itu, tetapi ditolak begitu sahaja," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Kedua-dua rang undang-undang itu meletakkan Perdana Menteri begitu berkuasa.

Sebelum ini, Mahfuz menegaskan rang undang-undang SPK tidak boleh diterima selagi ia memberi kuasa kepada Perdana Menteri merampas kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Parlimen, kata Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar.

"Fasal 37 SPK memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk melakukan meminda, memotong, menambah, mengganti, melakukan pengubahsuaian, perubahan, pengubahan dan memutuskan mana-mana peruntukan sebagai tidak boleh dipakai dalam Akta SPK dalam tempoh dua tahun pertama.

"Ia jelas merupakan tindakan merampas kuasa Yang di-Pertuan Agong dan mencabul Perlembagaan kerana kuasa sedemikian yang diberikan kepada Perdana Menteri secara terang-terangan menceroboh dan mencabul konsep demokrasi berparlimen," katanya.

Beliau berkata, menurut sistem demokrasi berparlimen negara ini, penggubalan atau pindaan sesuatu undang hendaklah mendapat kelulusan Dewan Rakyat, Dewan Negara sebelum dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong.

Mahfuz juga menyifatkan fasal tersebut amat berbahaya kerana ia akhirnya akan mencabul konsep pemisahan kuasa di negara ini.

"Katakan Perdana Menteri tiba-tiba merasa Fasal 2 SPK yang mendukung kebebasan badan kehakiman perlu dipotong atau diputuskan sebagai tidak boleh dipakai, ia akhirnya akan menghancurkan kebebasan badan kehakiman," katanya._

Tiada ulasan: