HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Disember 2008

Jabatan Perikanan keluarkan lesen khas kepada nelayan pukat tunda

SINAR HARIAN


BACHOK - Jabatan Perikanan Kelantan mengeluarkan lesen khas kepada nelayan pukat tunda beroperasi di kawasan dua batu nautika yang sebelum ini dikhaskan kepada nelayan pantai menjalankan aktiviti menangkap ikan.

Pengarahnya, Zawawi Ali berkata melalui kelulusan khas jabatan, nelayan dibenarkan menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan lebih dekat berbanding sebelum ini di luar kawasan lima batu nautika.

“Jadi mulai November 2008 dan Mac 2009 nelayan pukat tunda boleh memohon bagi menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan lebih dekat dengan pantai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyerahkan bendera merah dan hijau kepada wakil-wakil nelayan Kelantan di sini, semalam.

Zawawi berkata kerajaan memandang serius masalah nelayan tidak dapat turun ke laut terutama pada musim tengkujuh berikutan gelombang besar dan membahayakan kepada para nelayan.

Beliau berkata bagi mengurangkan tanggungan hidup yang sebahagian besar golongan miskin kerajaan mengambil keputusan membenarkan nelayan turun ke laut menjalankan aktiviti harian di kawasan lebih dekat dengan pantai.

“Cara demikian dapat mengurangkan beban hidup golongan itu (nelayan) yang rata-rata adalah miskin dan memerlukan sokongan,” katanya.

Menurut Zawawi bagi memastikan nelayan sentiasa selamat ketika berada di laut jabatan melantik 10 orang wakil yang berperanan sebagai penghubung antara jabatan dan nelayan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) memaklumkan keadaan semasa cuaca.

“Wakil-wakil terbabit akan memasang bendera warna merah sekiranya cuaca tidak mengizinkan dan bendera berwarna hijau bagi cuaca yang agak baik kepada nelayan ke laut,” katanya.

Melalui program kerjasama Jabatan Kaji Cuaca dan Jabatan Metrologi membolehkan nelayan terbabit ke laut dengan selamat sekalipun pada musim tengkujuh yang sebelum ini dilarang turun ke laut.

Beliau berkata jabatan perikanan juga turut terlibat dalam membantu mangsa banjir dengan menempatkan bot-bot ke kawasan yang sering dilanda banjir bagi membantu mangsa yang memerlukan bantuan.

“Dua buah bot disediakan untuk mengangkut mangsa banjir dan menghantar bekalan kepada mangsa-mangsa banjir,” katanya.

Tiada ulasan: