HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Disember 2008

'Kami tuntut hak kami'- penduduk Asli

Hashim Abdullah


KUALA KRAU - Pemimpin Umno dan Barisan Nasional dibidas kerana gagal meningkatkan taraf sosio ekonomi kaum asli berbanding kaum lain walaupun Negara telah 50 tahun merdeka.

Perkara ini dibangkitkan kaum asli di perkampungan gugusan Jenderak dalam dialog bersama wartawan Harakah semasa mereka mengadakan demonstrasi membantah pengambil tanah tradisi yang telah mereka dakwa usahakan sejak nenek moyang hampir 100 tahun dahulu.

Harakah difahamkan seramai 4,000 penduduk asli keturunan Jahut di 12 perkampungan dalam gugusan Jenderak mengalami delima terhadap status tanah dan kediaman mereka kerana ketiadaan dokumentasi yang jelas dari pihak berkuasa.

Dialog yang diadakandi balai raya Kampung Pian turut dihadiri ratusan penduduk dari beberapa perkampungan berhampiran turut mengeluarkan berbagai slogan mengecam kerajaan atas isu terbabit.

Antara slogan yang ditulis berbunyi: "Kami tuntut hak kami, hormati hak kami, berani kerana benar, tanah kami nyawa kami semua jagalah akta 134, harapan untuk temurun, bebaskan hak kami, akta 134 dan banyak lagi.

Paling gelisah dengan situasi pengambilan tanah untuk agensi kerajaan ialah bersabit isu kediaman kekal yang tidak mereka perolehi selama ini dan isu mata pencarian pada masa depan.

Generasi muda, On Bin Batin Long, 37 memberitahu penduduk orang asli gugusan jenderak semakin terhimpit kerana tidak mempunyai pekerjaan yang diamalkan secara tradisi dan pertanian.

"Masalah besar ialah kami tak ada tanah kekal, sedangkan tanah yang diusahakan turun temurun sejak datuk, nenek moyang kami dahulu seberang kampong ini telah dijadikan kawasan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN).

"Kami harap kerajaan, menteri-menteri jangan pecamkan mata. Tolonglah selesaikan masalah orang kami. Kami bukan nak lebih-lebih tapi kami nak hak kami yang sedikit ini,"katanya.

Mustafa a/l Sik mahukan kerajaan negeri menyelesaikan isu tanah-tanah adab dan perkampungan orang asli yang tidak diiktiraf oleh kerajaan secara hitam putih menyebabkan kebanyakan orang asli dalam keadaan delima.

"Tanah-tanah adab dan perkampungan kami tidak diiktiraf oleh kerajaan sebagai milik kami secara hitam putih. Malah sehingga saat ini kebanyakan masyarakat orang asli tidak tahu status tanah yang sedang kami duduki," katanya.-azm_

Tiada ulasan: