HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 Disember 2008

Polis tidak terima maklumat serangan di Mumbai ada kaitan dengan Malaysia.

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata polis tidak menerima sebarang maklumat, penjelasan atau pengesahan berhubung kesahihan dakwaan yang mengaitkan nama Malaysia dengan insiden serangan bersenjata di Mumbai.

"Sehingga kini, kita tidak mendapat sebarang maklumat daripada Polis Antarabangsa (Interpol) berhubung dakwaan bahawa sebilangan pengganas yang melakukan serangan bersenjata di Mumbai menggunakan alamat di Malaysia untuk menyewa apartmen di India," katanya selepas Majlis Perlantikan Pangkat Kehormat Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (Suksis) Kementerian Pengajian Tinggi di Bukit Aman di sini hari ini.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah meminta bantuan Interpol untuk mendapatkan butiran mengenai dakwaan itu ekoran laporan yang dikeluarkan oleh media India.

Laporan media di sana turut mendedahkan bahawa sekeping kad kredit yang dikeluarkan di Malaysia dijumpai pada salah seorang pengganas yang terbunuh.

Dalam kejadian serangan oleh sekumpulan militan bersenjata lengkap di 10 kawasan strategik di bandaraya Mumbai bulan lepas, sekurang-kurangnya 195 orang maut dan 295 orang cedera.

Sementara itu, Musa berkata pada masa ini terdapat seramai 1,400 orang pelatih Kor Suksis yang terdiri daripada 700 siswa dan 700 siswi sedang mengikuti latihan di 20 buah institusi pengajian tinggi awam negara.

Penubuhan Kor SUKSIS di institusi pengajian tinggi awam di negara ini direalisasikan hasil cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 5 Ogos 1999 yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri.

Tujuan penubuhan Kor Suksis adalah bagi melahirkan pegawai-pegawai yang berpengetahuan dalam bidang undang-undang dan penguatkuasaan serta melatih pegawai dengan nilai kepolisian. Sehingga kini seramai 4,200 orang pegawai Kor Suksis telah dilahirkan sejak penubuhannya.

Musa berkata kewujudan Suksis dapat menarik minat belia untuk menyertai pasukan polis sekaligus memudahkan PDRM dalam proses pencarian bakalbakal polis.

"Pelajar yang menyertai (Kor) Suksis dan ingin memohon jawatan dalam polis akan diberikan kepentingan berikutan telah dilatih. Ia satu kemudahan yang menyenangkan PDRM sendiri dalam mencari bakal polis," katanya.

Penubuhan Kor Suksis juga amat relevan memandangkan daripada zaman persekolahan lagi, pelajar telah diterapkan dengan unsurunsur kepolisian apabila sekolah-sekolah mewujudkan Kadet Polis dan Kelab Pencegahan Jenayah.

Katanya pendedahan awal ini bagi membiasakan mereka dengan peranan pihak polis sekaligus menjadikan polis sebagai idola dalam pembentukan etika dan disiplin sebagaimana yang menjadi budaya polis sejak sekian lama.

Tiada ulasan: