Abdul Rahim Sabri
(kemaskini)
Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) hari ini bersedia menggugurkan "perang bogelnya" atau ugutan untuk berdemonstrasi bogel setelah bertemu wakil Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Tiada lagi isu-isu (tentang Reformis) berbangkit selepas ini.
"Isu berbogel pun tidak timbul lagi," kata timbalan presiden penajanya Badrul Hisham Mohd Hanafiah kepada Malaysiakini.
Tambahnya, jika muncul kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas presiden penajanya Ramlan Abu Bakar, ia bersifat peribadi dan "tidak ada kena-mengena dengan Reformis".
Sewaktu diketuai NGO baru itu sebelum ini melancarkan "perang bogelnya" terhadap Abdul Khalid dan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kecewa terhadap kerajaan negeri yang didakwa gagal mempedulikan nasib golongan miskin dan tidak menunaikan janji manifestonya ketika pilihanraya umum lepas.
Dalam pertemuan sejam pagi ini dengan setiausaha politik menteri besar, Nik Nazmi Nik Ahmad, Reformis menyatakan sokongan terhadap keputusan Selangor menurunkan harga sewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi keluarga berpendapatan bawah RM1,500.
"Reformis akan berdiri teguh di belakang menteri besar dan barisan exconya untuk menjaga kepentingan negeri dan Pakatan Rakyat," kata Badrul Hisham.
Tambahnya, dalam pertemuan itu, Abdul Khalid dilaporkan sedia bekerjasama dengan NGO itu, yang baru ditubuhkan Julai 2007 dan kini masih menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan.
Mengulas kedudukan bekas presiden penajanya yang dipecat minggu lalu yang dibangkitkan oleh Nik Nazmi, Badrul Hisham berkata Reformis berharap Abdul Khalid "jangan layan karenah-karenahnya."
Majoriti exco Reformis, lapan daripada 12, mengambil keputusan menggugurkan Ramlan dalam satu mesyuaratnya 17 Disember lalu.
Surat memaklumkan keputusan tersebut dihantar keesokannya.
Badrul Hisham, kini memangku jawatan nombor satu Reformis, berkata NGO itu melantik ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Dr Badrul Amin Baharon sebagai penasihatnya mulai 18 Disember lalu.
Beliau, menjelaskan Reformis akan terus memberi teguran dan menyalurkan maklumat kepada Selangor dan Pakatan Rakyat bagi menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan rakyat.
"Reformis sudi bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu-isu rakyat dan berharap kerajaan mengambil peduli dengan teguran kami," tambahnya.
Reformis, kata Badrul Hisham lagi, akan ke Kuala Terengganu untuk membantu kempen calon PAS merampas kerusi parlimen itu dalam pilihanraya kecil 17 Januari depan.
Katanya lagi, beliau dan barisan exco Reformis yang hadir berpuas hati hasil pertemuan dengan Nik Nazmi yang diadakan di pejabat pentadbiran kerajaan negeri di Shah Alam, jam 11 pagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan