HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Disember 2008

Husam: Bukan Islam usah bimbang PAS laksana hudud

MSTAR ONLINE


KOTA BARU: Masyarakat bukan Islam tidak harus khuatir dengan pendirian PAS yang mahu melaksanakan undang-undang hudud dan qisas, sebaliknya mereka perlu mengambil berat tentang hak sosial mereka yang dinafikan oleh kerajaan Barisan Nasional lebih lima dekad lalu.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, masyarakat Cina dan India seharusnya berjuang untuk membela hak-hak sivil mereka daripada hanya bimbang tentang kemungkinan pelaksanaan undang-undang hudud dan qisas.

"Undang-undang hudud adalah baik untuk masyarakat dan selain melindungi masyarakat umum, ia juga mendidik mereka boleh terdedah kepada aktiviti jenayah dan mereka yang berada dalam dunia jenayah.

"Undang-undang ini mungkin nampak tegas dan keras, tetapi jika seseorang memahami konsepnya, undang-undang seumpama itu menyediakan ketenangan bagi mereka mematuhi undang-undang," kata beliau pada sidang media di sini.

Sehubungan itu kata Husam, beliau tidak faham sebab masyarakat bukan Islam terlalu bimbang dengan undang-undang hudud.

"Kerajaan Barisan Nasional cuba untuk menutup aspek ini dengan menakut-nakutkan bukan Islam tentang undang-undang hudud," katanya.

Bebeberapa hari lalu, Husam mengakui bahawa pelaksanaan undang-undang hudud dan qisas mungkin terpaksa ditangguhkan walaupun jika Pakatan Rakyat memerintah negara ini kerana ia memerlukan persetujuan dua rakannya dalam pakatan itu, Parti Keadilan Rakyat dan DAP.

Kata Husam, parti-parti komponen dalam pakatan itu telah menandatangani perjanjian pada Ogos lalu bahawa sebarang perubahan dasar perlu dibuat dengan persetujuan semua parti komponen.

"PAS tidak akan mengambil langkah unilateral. Semua perkara akan diambil secara multilateral," katanya.

Dalam satu forum di sini Sabtu lalu, beliau berkata, PAS akan tetap melaksanakan hukum hudud itu tetapi pendirian itu dibantah oleh DAP.

Tiada ulasan: