HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 Disember 2008

Wakil Rakyat PKR dihalang masuk S'wak

Muda Mohd Noor


Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bagan Serai, N Gobalakrisnan hari ini mendakwa beliau dihalang masuk ke Sarawak oleh kerajaan negeri itu.

Insiden itu berlaku di lapangan terbang antarabangsa Kuching pada kira-kira jam 5.30 petang tadi.

“Sebaik tiba di lapangan terbang, pegawai imigresen memberitahu saya yang saya tidak dibenarkan masuk atas arahan kerajaan negeri.

“Pegawai imigresen memberi sekeping notis yang tertulis `Tuan bukan rakyat Sarawak, tidak berhak untuk masuk ke Sarawak tanpa permit atau pas Akta Imigresen 1959-1963'.

“Kini saya masih berada di bilik imigresen lapangan terbang berkenaan menunggu untuk dihantar pulang jam 7.25 malam ini,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini pada jam 6.30 petang tadi.

Gobalakrishnan berkata, walaupun beliau bertanyakan alasan mengapa tidak dibenarkan masuk, pegawai berkenaan memberitahu ia atas arahan kerajaan negeri.

Beliau percaya tindakan itu ada kaitan dengan tindakannya mempertahankan seorang ahli Parlimen pembangkang yang mempersoalkan peranan sebuah syarikat milik kerajaan negeri Sarawak.

Gobalakrishnan berkata, beliau mahu masuk ke Sarawak untuk menghadiri program PKR di negeri itu.

Berikutan itu, katanya, beliau akan membangkitkan perkara itu dalam sesi sidang Dewan Rakyat yang akan datang.

Bagaimanapun, tiada respons rasmi berhubung insiden tersebut.

PKR telah meningkatkan kempennya di Sarawak, di mana pemimpin utamanya, Datuk seri Anwar Ibrahim mendakwa pembangkang semakin kuat untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam pilihanraya negeri akan datang.

Anwar juga telah meminta ahli-ahli Parlimen pembangkang supaya sentiasa melawat Sarawak untuk menemui rakyat negeri tersebut.

Bagaimanapun, Taib telah menolak kemungkinan Sarawak akan ditawan ke tangan Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: