HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 Disember 2008

Persatuan Seniman dicadang jadi badan pelaburan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) hari ini dicadang menjadi satu badan pelaburan bagi membolehkan semua penggiat filem atau karyawan industri menyimpan wang dalam badan tersebut sebagai simpanan hari tua mereka.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Husni Mohamed Hanadzlah berkata badan pelaburan tersebut berupaya memberi peluang kepada karyawan filem untuk mencarum wang mereka walaupun bukan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), seperti yang dilakukan di Itali.

"Melalui badan pelaburan itu, maka pelakon-pelakon dapat mencarum wang mereka sebagai simpanan di masa depan, sepertimana di Itali, badan karyawan tersebut menjadi satu badan pelaburan dan pelakon-pelakon akan mencarum wang mereka atau menyimpan wang mereka di mana wangwang tersebut diletak dalam instrumeninstrumen pelaburan," katanya ketika menjawab soalan Senator Tan Sri Jins Shamsudin pada Persidangan Dewan Negara di sini.

Ahmad Husni berkata kerajaan telah mengkaji modul-modul di negara lain di mana hasil kajian didapati karyawan negara luar tidak mencarum wang dalam KWSP, sebaliknya kebanyakan pekerja filem di sana mencarum wang dalam insurans sosial.

Menjawab soalan tambahan Jins Shamsudin yang bertanya tidakkah menteri mempunyai kuasa bagi mengarahkan KWSP mewajibkan penerbit-penerbit filem mengenakan caruman kepada semua karyawan terlibat, beliau menjelaskan di bawah Akta KWSP 1991, menteri tidak diberi kuasa untuk mengarahkan demikian.

"Maka di bawah akta tersebut menteri tidak diberi kuasa untuk membuat arahan secara logik menggesa mana-mana penerbit filem mengenakan caruman kepada semua karyawan terlibat," katanya.

KWSP merupakan sebuah institusi keselamatan sosial yang ditubuhkan di bawah Undang-Undang Malaysia, Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452) yang menyediakan faedah persaraan kepada ahlinya melalui pengurusan simpanan mereka secara cekap dan boleh dipercayai.

Tiada ulasan: