HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Disember 2008

Samy ibaratkan Karpal "harimau tidak bertaring"

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini menyelar Pengerusi DAP dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh, mendakwa Karpal telah bertukar menjadi "harimau tidak bertaring" apabila menyatakan sokongan DAP terhadap PAS pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu bulan depan.

"Harimau (Karpal Singh) kelihatan sudah menyerah kalah kepada PAS," kata Samy Vellu dalam kenyataan di sini, merujuk kepada perbezaan pendapat antara DAP dan PAS mengenai penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum Hudud.

Karpal, dikenali sebagai "Harimau Jelutong", begitu lantang berhubung dua isu itu, tidak bersetuju dengan pendirian PAS yang mahu menubuhkan sebuah negara Islam dan melaksanakan hukum Hudud.

Walaupun DAP dan PAS tidak sependapat dalam dua isu itu, mereka adalah sebahagian Pakatan Rakyat, pakatan pembangkang yang juga termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pakatan Rakyat akan mengumumkan calonnya pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 1 Januari dan kesemua tiga parti pembangkang telah berikrar untuk saling bekerjasama dalam usaha untuk menawan kerusi itu daripada parti pemerintah Barisan Nasional (BN).

Semalam, Samy Vellu mencabar Ketua Pembangkang dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyatakan secara terbuka pendiriannya mengenai hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud.

"Karpal Singh sepatutnya konsisten dalam pendirirannya (mengenai hukum hudud) dan bukan menjadi boneka PAS.

"Ini (persetujuan untuk bekerjasama untuk memenangi kerusi itu) menunjukkan yang beliau (Karpal) dan partinya (DAP) akan akur dan mengenepikan prinsip mereka demi untuk memastikan kemenangan calon pembangkang," kata Presiden MIC itu.

Beliau berkata, DAP perlu memberikan penjelasan kepada rakyat, terutamanya kaum Cina, mengenai percanggahan pendapat parti itu mengenai hukum Hudud.

"Karpal tidak sepatutnya membenarkan kewibawaanya terhakis di kalangan kaum India yang telah mengundinya pada pilihan raya umum lepas," katanya.

Tiada ulasan: