HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Disember 2008

Kempen 'Jom Sertai PAS' :Seru ahli Umno sertai perjuangan

Nyza Ayob


KUALA LUMPUR - "Kempen 'Jom Sertai PAS' merupakan satu tawaran kepada orang ramai khususnya daripada ahli Umno untuk bersama-sama dalam perjuangan PAS."

Demikian kata Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuff yang mengalu-alukan kempen "Jom Sertai PAS" anjuran Pemuda PAS Pusat dan berharap kempen tersebut menggalakkan lagi orang ramai menyertai PAS, iaitu sebuah parti yang pastinya jujur dan bertanggung jawab.

"Kempen Jom Sertai PAS merupakan satu tawaran kepada orang ramai khususnya daripada ahli Umno untuk bersama-sama dalam perjuangan PAS.

"Dalam keadaan Umno yang terumbang- ambing sekarang ini, inilah masanya ahli daripada parti tersebut meninggalkan Umno yang kita tahu penuh dengan korupsi," katanya yang menaruh keyakinan kempen tersebut berjaya mencapai sasaran dan matlamatnya.

Dalam pada itu, Mujahid memberitahu bahawa Kelab Penyokong PAS tekad dan berpadu tenaga bagi memastikan kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari nanti.

Katanya Kelab Penyokong PAS telah membuka Pusat Kelab Penyokong PAS di bandar Kuala Terengganu sebagai pusat jentera pilihan raya kelab tersebut.

Katanya, dengan kerjasama skuad Kelab Penyokong PAS Dun Kota Lama di bawah kelolaan Dato' Anwar Tan, pusat khidmat tersebut diadakan khusus bagi menghadapi pilihan raya Kuala Terengganu itu.

"Ia bukan sahaja sekadar satu pusat khidmat. Tetapi kita juga telah menjemput Kelab Penyokong PAS dari seluruh negara untuk sama-sama turun ke Kuala Terengganu. Sepanjang kempen tersebut kita menganggarkan dalam satu hari sekurang-kurangnya terdapat 10 hingga 20 orang petugas daripada ahli kelab.

"Dengan kerjasama Lajnah Perpaduan Nasional Terengganu juga kita adakan pejabat kelab di situ termasuklah kemudahan untuk penempatan,"katanya.

Sehubungan itu beliau berharap semua ahli kelab di seluruh negara melakukan perbincangan dengan Lajnah Perpaduan Nasional di setiap negeri serta memaklumkan kepada beliau mengenai perkara tersebut. - azm _

Tiada ulasan: