HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Disember 2008

SPR perlu kuasa autonomi, Rashid 'akur' saranan pembangkang

Harakahdaily


KUALA LUMPUR - Saranan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman subaya suruhanjaya itu mempunyai kuasa autonomi amat dialukan-alukan dan perlu diberi perhatian yang serius.

Ketua Penerangan PAS Pusat Mahfuz Omar berkata, di penghujung jawatan Rashid akhirnya dilihat mengakui bahawa SPR sebelum ini tidak cekap, telus, adil dan bebas dalam menjalankan tanggungjawabnya sehingga menjejaskan prinsip demokrasi yang didukung oleh negara ini.

Katanya, secara tidak langsung cadangan beliau itu seiring dengan saranan yang pernah dikemukakan oleh parti-parti pembangkang untuk melihat proses pilihan raya umum dan kecil dijalankan secara adil dan saksama.

"Akhirnya apa yang kita tuntut dan dakwah selama ini tentang ketidak-cekapan SPR telah diakui sendiri oleh Rashid dan kita alu-alukan pandangan beliau itu.

"Kita mahu semua suruhanjaya tak kira kehakiman, rasuah ataupun SPR yang ada di negara ini dihormati dan diberi kuasa yang luas tanpa ada campur tangan atau sebarang gangguan eksekutif yang boleh merencatkan pilihan raya itu sendiri," katanya yang menghubungi Harakahdaily.net sebentar tadi.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mengucapkan rakaman terima kasih atas khidmat Rashid selama ini dan menghargai pandangannya yang mahu melihat suruhanjaya ini bebas.

Dalam pada itu Mahfuz menggesa supaya SPR dibawah kepimpinan yang baru dapat memberi 'tekanan' kepada pihak kerajaan supaya SPR dapat berperanan sebaiknya sekaligus membersihkan imej badan itu yang seringkali dikritik fungsinya dan mendapat bantahan besar daripada rakyat.

Beliau merujuk peristiwa bersejarah yang perlu diingati SPR seperti yang berlaku pada 10 November 2007, apabila lebih 100,000 rakyat menyertai himpunan 'Bersih' kerana kecewa dengan peranan SPR selama ini.

Rashid yang bersara wajib hari ini dilaporkan berkata pemberian kuasa autonomi itu perlu bagi memastikan SPR tidak dituduh sebagai 'alat' kepada kerajaan untuk memenangi mana-mana pilihan raya.

"Kita perlu mengkaji semula fungsi SPR supaya tiada lagi tuduhan dilemparkan dan mempertahankan diri kerana sering dituduh 'tiada gigi'..kerana tidak boleh mengambil sebarang tindakan.

"Kuasa SPR sepatutnya diperluaskan supaya boleh memberi amaran kepada media, terutama media elektronik mengenai had laporan mereka. Oleh itu, kempen pilihan raya akan berjalan dengan lebih telus," katanya pada satu sidang media - azm_

Tiada ulasan: