HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Disember 2008

Jelaskan pada rakyat punca harga getah, sawit merudum

Roy Rasul


KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu berterus-terang kepada rakyat mengenai punca sebenar kejatuhan harga kelapa sawit dan getah dengan begitu mendadak sekarang, gesa Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.

Ini katanya, semasa pilihan raya umum ke-12 pada bulan Mac lalu, harga komiditi kelapa sawit mencecah RM850 setan, manakala harga getah RM4.50 sen sekilogram.

Sekarang ini, katanya kepada Harakah, harga kelapa sawit merudum kepada RM250 setan dan getah pula sembilan puluh sen sekilogram.

"Skripnya sama, berlaku lambakan hasil di pasaran dunia. Hanya Malaysia, Indonesia dan Thailand pengeluar utama sawit dan getah iaitu dengan permintaan dan penggunaan kian berkembang, adakah itu alsannya," katanya.

Namun katanya, walaupun harga minyak turun beberapa kali, kebanyakan harga barang masih kekal di paras lama dan jika turun pun terlalu perlahan.

Kos sara hidup pula dakwanya begitu tinggi dan ini menyebabkan keadaan inflasi dijangka naik melebihi lima peratus pada tahun 2009 ini.

Malah katanya beberapa hari lagi sesi persekolahan 2009 akan dibuka.

Maka katanya, bebanan ibu bapa untuk membeli peralatan sekolah dan yuran anak-anak pastinya akan dirasai.

"Jika mempunyai tiga orang anak yang bersekolah, kosnya pasti mencecah ribuan ringgit," katanya.

Beliau berkata, biarpun sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak memberi jaminan ekonomi negara tidak terjejas meskipun berlaku kelembapan ekonomi dunia bagaikan tidak berpijak di bumi yang nyata.

Apa lagi ujarnya, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MFF) menganggarkan 200,000 hingga 400,000 pekerja akan hilang pekerjaan pada suku pertama dan kedua tahun 2009 ini.

Jabatan Tenaga Kerja (JKT) memaklumkan 4,749 pekerja akan diberhentikan oleh 102 majikan dalam tempoh tiga bulan ekoran krisis ekonomi global.

Dalam hal ini juga katanya, sekalipun ada Akta Kerja 1955 untuk menjamin majikan membayar pampasan dengan jumlah tertentu, ada pekerja yang tidak dibayar gaji dan pampasan kedengaran di sana sini.

Beliau berkata, ada yang terpaksa membawa kes tersebut hingga ke mahkamah sehingga berlanjutan bertahun-tahun.

Perkembangan tersebut katanya, menunjukkan perlindungan dan kebajikan masyarakat pekerja diabaikan. - mns_

Tiada ulasan: