MALAYSIA KINI
Mayat reput yang ditemui dalam runtuhan rumah semalam akibat tanah runtuh di Bukit Antarabangsa 6 Disember lalu, disahkan pembantu rumah warga Sri Lanka.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berdasarkan bedah siasat terhadap mayat itu.
"Walaupun mayat itu sudah tidak lengkah (reput) tetapi baju yang dipakai mangsa, selimut dan tilam yang dijumpai telah dicam dan disahkan milik mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mayat wanita yang dikenali sebagai Mary itu telah reput dengan kepalanya terpisah dari badan ketika ditemui dalam lubang sedalam satu meter pada pukul 6.30 petang semalam oleh anggota keselamatan yang menjalankan operasi pemantauan dan pembersihan di kawasan runtuhan.
Mayat tersebut ditemui dengan kakinya ditindih katil di kawasan kira-kira 50 meter dari tapak banglo majikannya Dr N Yogeswari, 40 yang turut terkorban dalam kejadian 6 Disember lepas.
Abdul Jalil berkata majikan Mary juga telah membuat pengecaman pada jam 11.30 pagi dan mengesahkan ia adalah mayat pembantu rumahnya.
"Pihak polis telah berhubung dengan kedutaan Sri Lanka bagi memaklumkan perkara tersebut dan pihak kedutaan akan berbincang dengan pihak majikan bagi urusan penghantaran pulang mayat," katanya.
Sementara itu, seorang saudara mendiang Dr Yogeswari yang hanya mahu dikenali sebagai Majudy berkata, mayat Mary dicam berdasarkan baju dan skirt yang dipakai mangsa pada hari kejadian.
Insiden tanah runtuh yang meranapkan 14 banglo di Taman Bukit Mewah itu turut meragut empat nyawa lain.
Selain Dr Yogeswari, 40, mangsa korban lain itu ialah Shaiful Khas Shahrudin, 20, Eng Yee Peng, 30, dan seorang pembantu rumah warga Indonesia, Surinah, 30-an.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan