HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Disember 2008

Isu Palestin: Kenyataan Malaysia terlalu lemah - Mohammad Sabu

Irwan Muhammad Zain


KUALA LUMPUR - Kenyataan kerajaan Malaysia berhubung serangan Israel terhadap penduduk Gaza dianggap lemah seumpama lemahnya Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu berkata demikian hari ini sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri semalam.

"Isu serangan di Gaza adalah isu hak asasi manusia dan kerajaan Malaysia sepatutnya membuat kenyataan yang lebih keras," kecam beliau.

Mohamad Sabu mengesa seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa mengecam tindakan zalim rejim zionis terhadap rakyat Palestin.

Perjuangan rakyat Palestin kata beliau seharusnya disokong oleh semua warga dunia tanpa mengira agama.

"Sebagai orang Islam kita wajib bersama rakyat Palestin menyokong usaha mereka mendapatkan hak mereka," tegas Mohammad Sabu.

Mohamad Sabu berkata demikian kepada media selepas menyerahkan memorandum kepada wakil duta Amerika di hadapan bangunan kedutaan tersebut tengah hari tadi.

Selain Mohamad Sabu, turut bersama menyerahkan memorandum tersebut adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob, Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli, Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan AJK PAS Pusat, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali.

Perhimpunan aman di hadapan kedutaan Amerika anjuran Dewan Pemuda PAS ini disertai oleh lebih 500 orang./wann._

Tiada ulasan: