HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 Disember 2008

Tragedi Bukit Antarabangsa: Mayat warga Sri Lanka ditemui

BERNAMA
[DIKEMAS KINI]


KUALA LUMPUR: Mayat seorang warga Sri Lanka, mangsa kelima kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 6 Dis lepas, ditemui petang ini di tapak tanah runtuh berkenaan, kira-kira 50 meter dari rumah majikannya mendiang Dr S. Yogewari, yang turut terkorban dalam insiden itu.

Ketika mengesahkan penemuan itu, Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata pihak Bomba dan Penyelamat yang berada di tempat kejadian menemui kedudukan mayat pembantu rumah yang dikenali sebagai Mary itu kira-kira pukul 6.30 petang.

Insiden tanah runtuh kira-kira 4 pagi itu meranapkan 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa dan meragut empat lagi nyawa.

Empat mangsa korban lain itu ialah Shaiful Khas Shahrudin, 20, Dr Yogeswari, 40, Eng Yee Peng, 30, dan seorang pembantu rumah warga Indonesia, Surinah, 30an.

Timbalan Ketua Polis Ampang Supt Amiruddin Jamaluddin pula berkata mayat itu ditemui di dalam satu lubang oleh seorang pasukan keselamatan yang terhidu bau busuk ketika operasi pembersihan sedang dijalankan. "Ketika kerja mengorek, didapati cebisan anggota badan manusia telah reput terpisah antara satu sama lain seperti anggota tangan dan kaki. Mayat tersebut juga sudah nampak tulang anggota badan dan kepala terpisah daripada badan," katanya yang ketika ditemui di tempat kejadian.

Ketika ditemui, katanya mayat tersebut ditemui berbaju kemeja-T berwarna merah jambu.

Mayat itu berjaya dikeluarkan kira-kira 8 malam dan kini berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat, katanya.

Tiada ulasan: