HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Disember 2008

Blog hina nabi guna server luar negara

BERNAMA


IPOH: Polis mengenal pasti beberapa lelaki yang disyaki terlibat dalam penulisan serta penyiaran artikel dan gambar menghina Nabi Muhammad S.A.W dalam sebuah laman blog.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata siasatan mendapati laman blog berkenaan menggunakan server komputer di luar negara.

"Kita mendapat tahu laman blog itu menggunakan server dari luar negara dan bukan di Malaysia. Ini merupakan satu tugas yang sukar tetapi kita akan cuba yang terbaik," katanya selepas menyampaikan beret kepada 48 pelatih kursus asas 69 Komando dan Unit Tindakan Khas yang tamat latihan di Briged Utara Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta di sini.

Sabtu lepas, sebuah akhbar tempatan melaporkan mengenai artikel berkenaan yang dipaparkan dalam sebuah laman blog menggunakan nama seorang wanita Melayu.

Wanita berkenaan telahpun menafikan pembabitannya.

Ismail berkata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil sedang bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi mengesan pihak terbabit.

Beliau juga berkata Polis Diraja Malaysia menggabungkan kekuatan anggota baru dan lama untuk menghadapi pelbagai situasi keselamatan dalam negara.

"Yang penting, kita berusaha untuk hadapi cabaran dengan persediaan lengkap. Kita menyediakan platform dengan tenaga manusia, latihan kepakaran, sikap yang betul serta pengalaman yang wajar, jadi dengan itu kita bersedia hadapi apa jua situasi," katanya.

Ismail berkata bagi meningkatkan aspek pengetahuan dan taktikal pasukan serta pengalaman, PDRM sentiasa bekerjasama dan mempunyai banyak rujukan antaranya dengan Thailand, Indonesia, Amerika Syarikat dan Australia.

Tiada ulasan: