Oleh G. MANIMARAN
PETALING JAYA: Ketika tinggal hanya tiga bulan menjelang pemilihan parti, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, salah seorang calon yang bakal menyaingi kerusi Timbalan Presiden, mahu Lembaga Disiplin menjelaskan tatacara kempen menerusi blog.
Ketua Penerangan Umno itu berkata, "empat hari lepas Lembaga Disiplin Umno memberi amaran kepada bekas Ketua Umno Bahagian Hulu Langat, Datuk Ahmad Kuris Mohd. Nor kerana berkempen menggunakan blog semasa pemilihan bahagian yang lalu."
"Amaran Lembaga Disiplin ini perlukan penjelasan lanjut apakah pemilihan di peringkat Umno pusat yang akan diadakan Mac tahun depan juga tertakluk kepada larangan menggunakan blog atau laman web," kata beliau yang juga bekas Naib Presiden dalam blognya hari ini.
Tegas beliau, larangan menggunakan blog sebagai kaedah untuk berkempen perlu diperjelaskan dengan lebih terperinci memandangkan pemilik blog terutama di kalangan ahli dan pemimpin Umno agak ramai pada masa ini.
Muhammad memulakan blognya selepas pilihan raya umum lalu.
Seorang lagi calon jawatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam juga mempunyai blog sendiri.
Antara calon lain yang mempunyai blog ialah Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Khir Toyo yang turut merebut jawatan Ketua Pemuda Umno.
Seorang lagi calon kerusi itu iaitu Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Tun Mahathir juga mempunyai blog sendiri.
"Perkara itu perlu dinyatakan dengan jelas kerana blog ada kalanya menjadi wadah terbaik bagi meluahkan pandangan mengenai sesuatu isu yang hangat diperkatakan dalam masyarakat di samping membolehkan rakyat mengikuti tindak tanduk dan aktiviti pemimpin mereka," kata Muhammad, yang juga bekas Menteri Besar Selangor.
Tambah Muhammad, apabila diadakan sidang akhbar, ramai pemimpin yang memberikan maklum balas terhadap isu semasa, contohnya berkaitan naik turun harga barangan dan keesokan harinya komen mereka akan disiarkan dalam media.
"Jika pemimpin terbabit menulis perkara yang sama dalam blog pula, adakah itu dilihat sebagai berkempen dan boleh dijatuhkan hukuman," kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Beliau menjelaskan bahawa jika perkara-perkara yang dipaparkan dalam blog semuanya boleh ditafsirkan sebagai berkempen, pengurusan Umno perlu mengeluarkan surat meminta semua pemilik blog dalam kalangan ahli dan pemimpin parti menutup blog masing-masing.
"Saya pun akan menutup blog saya jika ia memang bertentangan dengan apa yang terkandung dalam tata etika ahli Umno," katanya.
Pada Isnin lalu, Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata, Ahmad Kuris diberi amaran kerana didapati bersalah berkempen untuk mendapatkan jawatan menerusi blog miliknya yang melanggar Tataetika Ahli Umno di bawah Perkara 5.3, Perkara 7.1 dan Perkara 8.1.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan