Pemilihan pengganti dibuat antara Putera Yang Empat
BERNAMA
[DIKEMAS KINI]
KUALA PILAH: Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan akan bersidang pada pukul 3 petang ini bagi membincangkan mengenai pelantikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, persidangan itu adalah antara Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin untuk memilih pengganti Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
"Kita akan adakan persidangan berkenaan petang ini dan akan umumkan (keputusan pelantikan) sama ada lewat petang ini selepas persidangan atau kita umumkan esok," katanya kepada pemberita di Istana Besar Seri Menanti di sini hari ini.
Pemilihan bakal Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru berbeza dengan cara pemilihan pengganti raja dan sultan di negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu.
PEMILIHAN ANTARA PUTERA YANG EMPAT
Pemilihan pengganti dibuat antara Putera Yang Empat iaitu Tunku Besar Seri Menanti Tunku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar, Tunku Muda Serting Tunku Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar dan Tuanku Panglima Besar Tunku Nazaruddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar.
"Dari keempat-empat mereka ini, seorang akan dipilih sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Besar Sembilan yang baru. Kaedah pemilihan ini dibuat oleh Undang Yang Empat," kata Tiang Kerajaan (Pakar Rujuk Adat Perpatih) kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Maharaja Khalid Bonget, 69.
Persidangan yang diadakan pada pukul 3 petang di Istana Besar Seri Menanti dan pengumuman dijangka dibuat lewat petang ini atau esok sebelum jenazah Almarhum dimakamkan.
Khalid berkata, pemilihan bakal Yang Dipertuan Besar ini adalah mengikut adat yang diucap dan dipakai seperti kata adat "Yamtuan Mangkat, Yamtuan Menanam", begitu juga dengan "Undang Mangkat", Undang Menanam" yang bermaksud mengumumkan pengganti Yang Dipertuan Besar Negari Sembilan sebelum Almarhum disemadikan.
Cara pelantikan ini dipakai mengikut Adat Perpatih dari dahulu hingga selama-lamanya.
Beliau berkata, kemangkatan Almarhum Tuanku Ja'afar telah dimaklumkan kepada Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin oleh Datuk-Datuk Lembaga Yang Empat Luak Ulu Muar iaitu Datuk Paduka Besar, Datuk Seri Maharaja, Datuk Senara Muda dan Datuk Orang Kaya Bongsu.
"Kemudian Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin akan menziarahi jenazah Almarhum baginda, setelah itu mereka akan mengadakan rundingan secara tertutup bagi memilih bakal Yang Dipertuan Besar Negeri yang baru," katanya.
Istiadat pemakaman jenazah Almarhum baginda akan diadakan esok selepas solat asar.
Tempoh berkabung berikutan kemangkatan baginda ialah selama 40 hari sejak semalam.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, 86, mangkat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban pada pukul 11.45 pagi semalam.
AKTIVITI DIBATAL, DITANGGUH
Mohamad juga berkata, kerajaan negeri telah menangguhkan dan membatalkan aktiviti keraian termasuk sambutan Maal Hijrah yang dijadual esok untuk berkabung selama 40 hari bermula semalam.
"Saya meminta masjid dan surau di seluruh Negeri Sembilan supaya membacakan doa dan Surah Yassin supaya roh Almarhum baginda dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang soleh," katanya.
Semua institusi kerajaan diwajibkan mengibar bendera negeri separuh tiang untuk berkabung, dan tidak terkecuali juga pihak swasta diminta mengibarkan bendera separuh tiang sepanjang 40 hari berkabung, katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri dan seluruh rakyat amat terasa kehilangan baginda yang telah bersemayam di atas takhta selama 41 tahun.
"Saya berasa amat beruntung berada di bawah naungan baginda selama empat tahun berkhidmat sebagai Menteri Besar negeri ini," katanya.
Beliau berkata Almarhum merupakan seorang pentadbir yang cemerlang dan pernah menjawat jawatan di dalam kerajaan dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan rakyat.
"Setiap pagi Rabu selepas mesyuarat Exco saya akan menghadap Tuanku dan sama-sama berbincang mengenai pembangunan di Negeri Sembilan dan saya juga mendengar nasihat baginda," kata Mohamad.
Bagi rakyat yang ingin menziarahi jenazah Almarhum di Istana Besar Seri Menanti, mereka perlu memakai songkok hitam berlilit putih dan bagi yang bukan Islam pula perlu berpakaian kemas dan sopan.
Jenazah Almarhum baginda ditempatkan di Dewan Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah untuk penghormatan terakhir daripada kerabat Diraja, pemimpin dan orang ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan