HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Disember 2008

PPSMI: Seruan buat ibu bapa, guru-guru di Parlimen Kuala Terengganu

Ali Bukhari Amir


Kepada semua kaum ibu dan bapa dan guru-guru yang berada di bawah Parlimen Kuala Terengganu.

Surat ini ditujukan khusus buat anda tanpa mengira latarbelakang kepartian. Surat ini daripada saya, seorang anak muda yang tidak ghairah kepada parti, hanya ghairah kepada tradisi keilmuan dan dunia akademik.

Juga, surat ini mungkin wakil daripada kawan-kawan saya yang peka dan prihatin terhadap nasib bangsa kita. Pendek kata, warkah ini dihulurkan kepada anda semua sebagai insan yang tiada memiliki apa-apa kepentingan parti.

Maka, janganlah hendaknya dilihat isi kandungan surat ini bermotifkan kepartian, walaupun ia tersiar di laman sesawang parti pembangkang. Saya memilih ruangan ini kerana saya yakin penuh percaya, bahawa isi kandungan surat ini tidak akan pernah tersiar di dalam akhbar yang telah dikawal parti pemerintah.

Warkah ini mengajak semua kaum ibu, kaum bapa dan guru-guru di Parlimen Kuala Terengganu untuk sama-sama kita berbincang daripada hati ke hati berhubung suatu permasalahan yang kronik sejak lima tahun lalu.

Barangkali kita semua sudah terlewat atau masih belum terlewat untuk merawat penyakit umat. Masa semakin suntuk! Tapi, ini semua bergantung kepada andaian masing-masing juga. Ada pihak yang masih menyatakan kita masih belum terlewat dan ada yang berkata kita sudah terlewat, nasi sudah menjadi bubur! Masing-masing punya tafsiran tersendiri.

Lidah bahasa berbelang warna

Apa pun yang berlaku, sama ada kita sudah terlewat atau tidak, penyakit-penyakit umat telah mula datang menyerang! Ia merayap ke seluruh sendi-sendi dan tiada tabib pun yang cuba datang menawarkan racun yang merayap ke setiap pembuluh darah umat ini. Biarlah kita namakan sindrom penyakit ini sebagai penyakit 'lidah bahasa berbelang warna"!

Ketika diajar matapelajaran Sains dan Matematik, anak-anak kita dan guru-guru di sekolah dihinakan dengan bahasa yang bukannya bahasa kita. Contohnya, kalau dalam suatu hari itu, ilmu sains dan matematik masing-masing diajar selama satu jam dalam kelas, bermaksud dalam sehari, kira-kira dua jam masa telah diperuntukkan untuk menghina anak-anak kita dan guru-guru dalam tempoh 24 jam melalui paksaan, bercakap, mengajar dan belajar, menerangkan dan bertanya dalam bahasa yang bukan milik nenek moyang kita.

Maka, apabila tiba masa untuk belajar ilmu geografi, pendidikan seni, agama dan lain-lainnya, boleh pula diajar dalam bahasa Melayu. Lidah anak-anak kita sudah memiliki berjalur dan berbelang warnanya. Kita mempunyai ungkapan yang tidak baik mengenai 'lidah bercabang', iaitu orang yang suka menipu, cakapnya berbelit, mungkir janji dan hal ini dibenci.

Sekarang, lidah anak-anak dan guru-guru kita berbelang warna. Bertambahlah satu lagi penyakit baru di alaf moderen ini dan pastinya penyakit 'lidah berbelang' ini sukar dirawat nanti jika kita tidak berbuat sesuatu.

Apabila kita membantah PPSMI ini, maka pihak kementerian telah mencari helah dan menyusun dalih baru. Kononnya kita anti bahasa Inggeris. Sebenarnya, mereka pun tahu, sedar bahawa bantahan ini bukannya terkait dengan sikap kita yang anti bahasa Inggeris.

Tetapi, pihak kementerian sengaja mengada-adakan tohmahan seperti ini supaya bantahan ke atas PPSMI ini akan tampil dengan wajah gelap; kononnya kita anti pembangunan, kuno, jumud dan anti bahasa Inggeris!

Sesungguhnya, kalau gerakan membantah PPSMI ini benar-benar anti bahasa Inggeris, sejak dahulu lagi kita tidak izinkan matapelajaran bahasa Inggeris diajarkan di sekolah-sekolah! Tetapi, kita tidak pernah membantah langsung matapelajaran ini diajarkan.

Kita alu-alukan pengajaran dan pembelajarannya. Kita benarkan tertegak dan tertubuhnya British Council dalam negara kita. Tiada seorang pun yang tergamak membakar segala gedung institusi pendidikan yang terkait dengan bahasa Inggeris ini.

Hati kita cuma jadi hangus terbakar dengan sebab maruah kita diinjak-injak oleh pihak kementerian sendiri yang telah menghina kita, menjatuhkan maruah nenek moyang kita yang telah berusaha keras menegakkan tiang bahasa Melayu sebagai tonggak bahasa kebangsaan, atau bahasa rasmi yang digunakan dalam pentadbiran dan urusan rasmi dalam kehidupan tatacara bernegara.

Maka pendidikan adalah salah satu cabang daripada urusan hidup bernegara. Pendidikan adalah pusat nyawa, nadi kehidupan negara ini. Tiada bermaknanya kehidupan bernegara dan tiada ertinya sesebuah peradaban yang lumpuh tradisi pendidikan dan keilmuannya. Lumpuhnya pendidikan itu ditandai dengan pengajaran dan pembelajaran ilmu yang bukan melalui bahasa kaum itu sendiri.

Wahyu yang pertama turun adalah Iqra', iaitu bacalah. Wahyu pertama itu mementingkan unsur pendidikan, menerapkan ilmu sebagai petanda aras, kayu ukur yang menyukat jatuh bangunnya sesebuah tamadun. Bukanlah ekonomi yang menjadi asas dan nadi jatuh bangunnya sesebuah bangsa. Tapi, ilmu itulah asas penggerak sesebuah tamadun.

Sekarang, pendidikan kita menjadi caca-marba, roti canai dan murtabak akibat campuran dan tokok tambah rojak bahasa di sana sini. Manusia memerlukan bahasa sebagai alat berfikir. Rosaknya bahasa bermaksud akan tumpullah alat menajamkan fikiran. Dan yang menumpulkan dan menghauskan bahasa Melayu yang tajam berkilat tadi adalah pemimpin Melayu sendiri!

Bolehkah khutbah Jumaat dalam bahasa bukan Melayu?

Oleh kerana pemimpin Melayu kita memiliki kreativiti tahap agung, mari kita buat andaian begini. Kita terpaksa membuat andaian yang bukan-bukan, sebab kita terpaksa berdepan dengan kegilaan yang bukan-bukan yang mungkin wujudnya secara tiba-tiba.

Misalnya pada satu hari, kerajaan betul-betul mahu jadikan Kuala Terengganu sebagai kawasan pelancongan agar pelancong Inggeris berpusu-pusu masuk datang bercambah dan masyarakat antarabangsa pula datang berjebah maka semestinya kerajaan meminta para imam dan khatib membacakan khutbah dalam bahasa Inggeris setiap kali solat Jumaat.

Majlis-majlis tazkirah dan penyampaian agama antara Maghrib dan Isyak mestilah diajar dalam bahasa Inggeris. Latihan ini perlu agar setiap ahli masyarakat di Kuala Terengganu mencapai kualiti bahasa Inggeris yang bermutu tinggi supaya dengan itu mereka dapat berbahasa Inggeris dengan para pelancong itu.

Menteri-menteri yang 'gila' ini mungkin akan berkata, "Kita perlu menambahkan jumlah pelancong di negara kita. Apabila kita makin mahir berbahasa Inggeris, maka makin ramai pelancong mahu datang ke sini kerana orang di sini ramah-tamah serta lancar pula berbahasa Inggeris."

Apa akan jadi kalau seluruh ahli masyarakat Kuala Terengganu diminta memakai bahasa yang bukan bahasanya sendiri dalam urusan membeli ikan, sayur di pasar hanya semata-mata untuk melatih ahli masyarakat dalam kawasan Kuala Terengganu itu agar lancar berbahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa semata-mata atas nawaitu palsu, meningkatkan ekonomi dan memajukan sektor pelancongan?

Heh! Tuan-tuan.. jangan main-main. Pemimpin kita bijaksana dan bijak laksana orangnya. Kalau tidak, masakan tertegak Majid Kristal itu? Dengan 'bijaksana' mereka itu, manalah tahu kalau-kalau khutbah pun nanti dalam bahasa Inggeris! Di dalam bahasa Melayu pun, makmum kita tersengguk-sengguk, kalau dalam BI, barangkali terus makmum kita padam, dan koma sepanjang Jumaat itu!

Banyakkan tindakan bantahan, bukan sekadar berbicara!

Kaum ibu bapa dan juga guru yang dirahmati.. Anak-anak dan guru-guru kita di seluruh negara ini telah diperlakukan secara hina, maruah mereka diinjak-injakkan dan semua ini berlaku, terbentang di depan mata kita sendiri.

Anak-anak kita dipaksa bertanyakan soalan dalam bahasa yang bukannya bahasa milik kita. Dan guru-gurunya diminta mengajar dalam bahasa yang bukan miliknya.

Tuan-tuan tentu sudah tahu apakah dasar ini. Ia adalah dasar yang meminta anak-anak kita dan guru-guru kita belajar dalam bahasa yang bukan milik kita. Bukan bahasa ibunda. Maka, segelintir dalam kalangan cendekiawan negara sudah pun menunjukkan aksi bantahannya melalui protes bicara! Tapi, kita manusia dan bukannya Tuhan.

Alam ini tercipta dan bergerak melalui kata-kata Tuhan yang berbunyi 'Kun Fa Yakun', Jadi maka jadilah ia (alam ini). Kegelapan dasar PPSMI ini bagaikan malam yang pekat. Ia tidak boleh diusir melalui kata-kata, cercaan dan celaan.

Kita bukan Tuhan yang boleh mengubah alam ini melalui kata-kata 'Kun Fa Yakun' tadi. Cendekiawan kita telah menyusun nota bantahan berulangkali. Tapi, sebagai yang disebutkan di atas, "Kegelapan tidak boleh diusir lewat kata-kata."

Kita tidak boleh bersikap sebagai Tuhan dengan menyeru kegelapan tadi dengan kata-kata: "He kegelapan, pergilah dikau dari sini!" Hentakan dan sergahan lewat bicara ke atas kegelapan seperti itu tiada maknanya lagi.

Kita manusia dan bukan Tuhan. Firman Tuhan Kun Fa Yakun boleh mengubah segala warna alam itu daripada sejuta kegelapan kepada sejuta pencerahan tanwiri. Insan boleh mengubah semuanya boleh tindakan dan pelaksanaan dan bukan kata-kata.

Penyair Indonesia terkenal, W S Rendra bermadah darihal erti perjuangan, "Perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata."

Tafsiran ke atas kalimat perjuangan, menurut Rendra adalah pelaksanaan ke atas kata-kata. Hal ini perlu diteliti oleh kita semua. Melaksanakan kata-kata adalah satu perjuangan. Ertinya, kita perlu bertindak dan beraksi dan bukan hanya terhad berbicara, menyusun nota bantahan, menulis memorandum semata-mata.

Kegelapan PPSMI terusir oleh pelita dan dian tindakan!

Ingatlah wahai guru-guru dan kaum ibu bapa Kuala Terengganu. Kegelapan tidak boleh diusir lewat bicara. Dahan bicara kita telah lama dipatahkan oleh semacam tenaga yang seolah-oleh tak terkalahkan.

Kegelapan tidak terusir melalui sergahan kata-kata. Ambillah dian, dan nyalakan pelita. Bawalah jamung di celah-celah kegelapan itu dan kegelapan akan terusir dengan sendirinya nanti.

Maka, hal membawa dian, pelita dan jamung itu adalah tindakan, gerakan merakyat yang nanti akan menatijahkan robohnya tembok keangkuhan Barisan Naga tadi, di mana sejak sekian lama belum ada rakyat yang berusaha keras melanggarnya.

Hati kita telah lama hangus, dihanguskan oleh sikap ahmak dan kesombongan mereka. Jiwa ibunda telah pun lama rentung, direntungkan lewat pidato liar Barisan Naga (BN) ini.

Liar lingkaran api yang menyala-nyala, dan sesekali menyembur lewat pidato naga-naga ini telah lama membakar jiwa, hati setiap perasaan manusia di daerah yang parah dengan segala prasarana pendidikan ini. Bagaimana murid-murid di Sabah Sarawak mahu mengajar, belajar dalam serba kekurangan?

Sekali lagi, pandangan ini tidaklah mewakili mana-mana parti. Ia lahir mendadak untuk meminta pandangan kaum ibu bapa dan guru-guru khasnya di Kuala Terengganu yang mungkin dapat merumuskan sesuatu tindakan, guna memberikan pengajaran ke atas para pemimpin Melayu yang telah secara biadap merobekkan bahasa ibunda kita selama ini.

Guru-guru dan kaum ibu bapa di Kuala Terengganu.. Kegelapan tidak boleh diusir lewat bicara, ubahlah melalui tindakan dan undi. Ketepikan faktor kepartian, letakkanlah matlamat memperkasa pendidikan di depan. Insya Allah, Tuhan bersama kita, RAKYAT MALAYSIA yang dahagakan kebenaran!

Pautan-pautan lain yang boleh dibaca..

(Nota: Jika terdapat saranan mengenai TINDAKAN-TINDAKAN yang boleh disusun oleh kaum ibu bapa dan guru, sila majukan kepada ibnuamir@yahoo.com.Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya Dan bagi mereka yang ingin membantah PPSMI atau mahu memajukan maklumbalas ke atas tulisan ini, boleh berbuat demikian dengan memajukan pandangan mereka ke mel-e yang sama.)

http://prihatin.net/index.php?option=com_content&view=article&id=105:klinik-bahasa-jawapan-terhadap-isu-ppsmi&catid=11:suara-generasi-muda&Itemid=13

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18377&Itemid=1

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18381&Itemid=1

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18382&Itemid=50

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18402&Itemid=1

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18448&Itemid=1

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18451&Itemid=1

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18488&Itemid=50

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18489&Itemid=1

http://bmppsmi.blogspot.com

3:15 p.m, 27 Disember
Sekolah Pemikiran Kg Baru _

Tiada ulasan: