HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Disember 2008

Wan Ahmad Farid: Retorik dalam retorik

Shirzad Lifeboat


"...sekiranya pilihan raya dilaksanakan dalam padang yang lebih rata, apakah Wan Farid masih yakin Umno boleh menewaskan PAS dengan mudah?"

Menurut calon BN Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh parti pembangkang khususnya PAS tidak mempunyai isu untuk diketengahkan kepada rakyat dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari depan.

Beliau kemudian menambah,"Pengalaman masa lalu jelas membuktikan rakyat Kuala Terengganu tidak mudah termakan pujuk rayu Pas kerana ia biasanya hanya retorik politik."

Sementara benar bahawa ada kalanya kemenangan atau kekalahan sesebuah parti dalam pilihan raya bergantung kepada isu ketara, namun ia tidak semestinya merupakan faktor tunggal.

Mungkin Wan Farid terlupa sewaktu PAS merampas Terengganu dari BN pada Pilihan Raya Umum ke-10 (1999), PAS melakukannya tanpa sebarang isu. Malah ketika itu Umno juga tidak selemah seperti apa yang dialami kini.

Dalam kata-kata lain, PAS melepaskan pukulan 'KO' kepada Umno tanpa isu politik dan sewaktu Umno kuat, baik di peringkat negeri mahupun di peringkat nasional. Oleh itu untuk mengatakan PAS tidak akan mampu memenangi pilihanraya kecil Kuala Terengganu hanya kerana tidak ada isu adalah satu kenyataan yang basi dan bersifat kurang matang dari segi politik.

Menyentuh tentang 'retorik', bukankan ia merupakan ciri politik Malaysia yang telah dibentuk menurut acuan Umno sendiri. Rakyat, sama ada di Kuala Terengganu atau di Kuala Lumpur atau hatta di Kuala Sedilik tahu tentang retorik Umno ini. Justeru tak perlulah Wan Farid mempermodalkan retorik murahan Umno bagi mengatakan PAS tidak mempunyai isu dan bahawa pujuk rayu PAS hanya retorik politik. Ini kerana sekiranya PAS menggunakan retorik politik maka ia adalah bagi menyesuaikan diri dengan strategi Umno.

Begitupun apalah sangat retorik PAS jika dibandingkan dengan Umno yang sepatutnya diberikan gelaran 'Pengasas Retorik Malaysia' . Dan bercakap tentang pujuk rayu PAS pula, sebagaimana yang dinyatakan oleh Wan Ahmad Farid, barangkali, keghairahan untuk menjadi Ahli Parlimen Kuala Terengganu menyebabkan beliau terlupa hakikat sejarah pilihan raya di Malaysia khususnya yang bersabit dengan Umno dan BN.

Siapakah yang beiya-iya memujuk rakyat dengan menggunakan akhbar dan TV. Tak cukup dengan segala macam tulisan dan paparan yang memuji-memuja Umno-BN ditokok pula dengan iklan-iklan halaman penuh dan 'centre-spread' serta slot-slot waktu perdana TV yang bersifat masuk bakul angkat sendiri.

Mungkin ada rakyat yang termakan dengan pujuk rayu Umno ini. Tetapi Wan Farid jangan lupa, masih ramai lagi yang sudah muak dengan gaya dan telatah Umno. Sekiranya kerajaan Persekutuan Umno-BN membenarkan kerajaan negeri mentadbirkan wang royalti minyak (sebagaimana perjanjian yang termaktub dan tanpa mengira siapa parti mana yang memerintah), sewaktu PAS menguasai Terengganu dulu dan sekiranya pilihan raya dilaksanakan dalam padang yang lebih rata, apakah Wan Farid masih yakin Umno boleh menewaskan PAS dengan mudah?

Barangkali Umno Kuala Terengganu pura-pura terlupa jawapannya. Tapi tentu sekali tidak dengan rakyat yang mengundi. - azm _

Tiada ulasan: