HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Disember 2008

PAS rakam takziah, pimpinan ziarah jenazah Almarhum

Harakahdaily


KUALA LUMPUR - PAS merakamkan rasa dukacita dan takziah atas pemergian pemerintah negeri yang berjiwa rakyat dan amat dihormati, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman yang mangkat pagi semalam.

Kawat takziah itu dinyatakan oleh Setiausaha Agung PAS Dato' Kamaruddin Jaffar kepada Harakahdaily malam semalam dan berharap agar rakyat jelata sentiasa mendoakan agar Almarhum di tempatkan di kalangan orang-orang beriman dan dirahmati Allah SWT sentiasa.

"Kita berharap agar Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin dan anakanda-anakanda baginda tabah dan bersabar mengadapi ujian dan ketentuan illahi dengan penuh rela hati.

"Kita merasai kehilangan seorang pemerintah yang sentiasa mengutamakan dan prihatin masalah rakyat dan sentiasa membantu golongan yang memerlukan," katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Salahudin Ayub turut merakam kedukacitaan yang sama yang turut disisipkan ke Harakahdaily.

Sementara itu jam 9 malam semalam, pimpinan PAS terdiri daripada Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Zulkifli Omar dan saf kepimpinan negeri turut menziarahi jenazah dan memberi penghormatan terakhir di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.

Difahamkan antara kenamaan yang menziarahi jenazah Almarhum ialah Sultan Perak Sultan Azlan Shah, Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun dan Undang Luak Sungai Ujong Dato' Klana Petra Dato' Mubarak Dohak.

Jenazah Almarhum dibawa Ke Seri Menanti dari Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban petang semalam untuk penghormatan terakhir oleh kerabat diraja, pemimpin dan orang ramai mulai hari ini dan istiadat pengebumian baginda akan diadakan esok (Isnin) selepas solat asar.

Almarhum Tuanku Ja'afar, 86, mangkat di hospital tersebut kira-kira 11.45 pagi semalam selepas mengadu sakit kepala dan tidak selesa.

Sementara itu, difahamkan satu persidangan akan diadakan hari ini di antara Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin serta Menteri Besar Dato' Seri Mohamad Hasan untuk memilih pengganti Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Pelantikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru akan diumumkan pada Isnin ini sebelum jenazah Almarhum Tuanku Ja'afar disemadikan di makam diraja Seri Menanti.- azm _

Tiada ulasan: